Sayap wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin yang bersifat mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) akan membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 2.30 petang ini.
Dalam notis makluman kepada media, AWAN berkata, laporan polis tersebut susulan kenyataan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang di saluran Astro Awani kelmarin.
Dalam rancangan bual bicara Consider This jam 10 malam itu, Zuraida yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seolah-olah mempertikai peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Bekas Naib Presiden PKR itu mendakwa Agong telah berbuat salah kerana mengeluarkan titah yang tidak wajar kerana Seri Paduka Baginda perlu menurut nasihat Kabinet.
Zuraida yang menyandang jawatan sebagai menteri portfolio yang sama ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan juga berpendapat bahawa Agong tidak mempunyai kuasa budi bicara dan seharusnya meluluskan apa sahaja yang disyorkan oleh Kabinet.
Dia dan 10 lagi Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari tahun lalu sebelum mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu enam bulan selepas itu.
Zuraida menerima anugerah Darjah Kebesaran Pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini.