Nampaknya penularan Covid-19, agak ketara menjejaskan keadaan sosio ekonomi rakyat. Walaupun Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah dilancarkan, namun hakikatnya satu tindakan yang bercorak holistik perlu dilakukan.
Hal tersebut penting agar usaha menangani kesan penularan pandemik ke atas kehidupan rakyat, dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan bersasar bagi mengembalikan kehidupan normal rakyat.
Usaha memerangi Covid-19 perlu dilakukan secara strategik, berfokuskan outcome yang mempunyai nilai pengukuran yang jelas pada setiap dimensi pelaksanaan.
Penularan Covid-19, ternyata telah menjejaskan emosi dan psikologi rakyat. Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) antara 23 hingga 31 Mac 2020 melibatkan seramai 168,182 orang sampel, 52.6 peratus mengakui berada dalam keadaan sangat terkesan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kajian itu juga mendapati sektor ekonomi yang paling terjejas adalah sektor pertanian (21.9 peratus) dan sektor perkhidmatan (15.0 peratus). Manakala sub sektor pertanian yang mengalami kesan kehilangan pekerjaan adalah perikanan (33.0 peratus).
Selain itu, sub sektor perkhidmatan yang mencatatkan kehilangan pekerjaan adalah perkhidmatan makanan dan minuman (35.4 peratus). Data kajian memperlihatkan 46.6 peratus pekerja yang bekerja sendiri telah kehilangan pekerjaan.
Begitu juga kesan ke atas pendapatan bulanan pekerja yang bekerja sendiri. Sebanyak 94.8 peratus menyatakan telah berlaku pengurangan pendapatan bulanan, seramai 35.5 peratus daripada golongan ini menjelaskan bahawa mereka telah mengalami pengurangan pendapatan bulanan sehingga pada kadar 90 peratus.
Penularan Covid-19, amat jelas telah menimbulkan risiko terhadap sosio ekonomi rakyat, sememangnya agak sukar untuk rakyat menyesuaikan diri dalam aspek emosi, psikologi, pemikiran dan juga komunikasi sosial untuk berhadapan dengan keadaan persekitaran yang berubah, khususnya dalam aspek memenuhi keperluan kebajikan keluarga.
Oleh yang demikian, usaha dan perancangan memerangi Covid-19, perlu lebih mendasar memandangkan kesannya melibatkan implikasi sosial, ekonomi dan struktur politik.
Maka tindakan yang perlu dilakukan seharusnya berteraskan penskoran berimbang, bagi mewujudkan tindakan penyelesaian yang lebih konkrit, menyeluruh dan menepati objektif yang ditetapkan.
Lebih jelas
Pembentukan PPN perlu diasaskan kepada kerangka model yang kukuh, bagi membolehkan keputusan berstruktur dapat dibuat dengan lebih jelas. Kerangka model yang boleh dijadikan asas pembentukan PPN, dapat disandarkan antaranya kepada; Paranoid Optimism, Change and Breakthrough Performance, Balance Scorecard, Pareto Principle dan juga Juran’s Quality Planning and Analysis.
Secara praktis, model-model ini dapat membentuk asas yang kuat bagi menentukan outcome secara holistik. Pelaksanaan PPN sewajarnya perlu merentasi aliran ideologi politik dan fahaman sosial.
Berteraskan input profesional serta pemikiran, pandangan dan sikap yang profesional, fokus penekanan harus bersandarkan aspek-aspek; pengalaman rasional, pengalaman emosional, pengalaman politik dan pengalaman spiritual.
Apa yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan PPN, bukan sahaja berkaitan dengan bagaimana untuk mengurus, sebaliknya juga berkaitan dengan bagaimana untuk diurus.
Kewujudan kecenderungan niat semata-mata adalah tidak mencukupi, perancangan juga tidak memberikan apa-apa makna tanpa adanya tindakan berkesan serta mekanisme yang mantap dan kukuh.
Isu Covid-19 telah menimbulkan jejasan terhadap sistem, struktur dan dinamik sosial rakyat. Persoalan ini merupakan perkara pokok yang perlu diberikan pertimbangan utama.
Keresahan rakyat tentunya akan mencetuskan impak yang besar terhadap pembangunan dan kemajuan ekonomi. Kemusnahan ekonomi rakyat mendorong kepada kemusnahan ekonomi negara.
Maka PPN perlu mempunyai fokus yang seimbang dalam konteks pengurusan dan harus distrukturkan dalam empat dimensi, iaitu; dimensi pengurusan dan pembentukan dasar, dimensi kewangan dan ekonomi, dimensi sosio budaya serta dimensi kemajuan dan inovasi. Dimensi-dimensi ini perlu diberikan penekanan secara serius agar outcome lebih jelas dan mempunyai nilai pengukuran yang konkrit ke atas prestasi.
Kejelasan nilai ukuran prestasi merupakan sesuatu yang amat penting kerana membuka ruang ke arah proses analisis yang konkrit bagi membolehkan segala data pelaksanaan dapat dikumpul dan dikesan bagi tujuan pelaksanaan audit untuk peningkatan, penambahbaikan dan tindakan pembetulan.
Menimbulkan kecelaruan
Proses audit ini merupakan sesuatu yang amat penting bagi membolehkan proses pelaksanaan PPN adalah selaras dengan aliran keperluan semasa, sejajar dengan perubahan realiti persekitaran.
Sungguhpun begitu, penekanan fokus terhadap empat dimensi ini, berkemungkinan akan menimbulkan kecelaruan dalam proses pelaksanaan, sekiranya wujud kegagalan dalam menyelaras aspek perkongsian maklumat aliran kerja secara berpasukan, juga wujudnya budaya “lajak bercakap” daripada mendengar akan maklum balas untuk tindakan.
Apa pun keadaannya, pelaksanaan PPN seharusnya diperkukuhkan dengan data dan perkongsian maklumat, elakan daripada wujudnya mentaliti silo.
Apa yang pasti, hampir kesemua sektor telah terjejas kesan daripada penularan Covid-19; industri, perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, pendidikan, perniagaan dan aktiviti sosial. Keadaan ini telah membantutkan perkembangan ekonomi serta sosio budaya dan telah menimbulkan gangguan terhadap pembangunan dan perkembangan budaya serta kehidupan manusia dan pelestarian kemanusiaan.
Maka pelaksanaan PPN, secara khusus bukan semata-mata melihat ekonomi dalam realiti ekonomi yang berpaksikan keuntungan dalam bentuk nilai mata wang. Sebaliknya ekonomi yang seharusnya dijulang adalah berkaitan dengan pengurusan manusia dan kemanusiaan. Oleh itu, pengukuran prestasi harus juga dianalisis dalam bentuk komitmen sarat nilai, perlu difahami bahawa pengukuran prestasi hakikatnya tidak bersifat one off.
PPN perlu meyakinkan rakyat terhadap inisiatif yang digerak secara profesional dengan matlamat untuk memberikan impak prestasi tertinggi bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang. PPN perlu mempunyai kecenderungan untuk menetapkan ukuran prestasi dalam semua sektor. Keadaan ini amat penting bagi mempengaruhi reaksi rakyat untuk turut terlibat dalam program pemulihan yang dirancangkan.
PPN dalam konteks pelaksanaannya, perlu memperlihat akan keupayaan operasinya dengan berteraskan aspek-aspek; kebenaran pemikiran, kebertanggungjawaban, orientasi masa depan, tumpuan sarat nilai, kepastian tindakan, keseimbangan fokus, keupayaan boleh ubah dan ketinggian aras kebolehpercayaan.
Aspek-aspek ini merupakan asas utama untuk membina keyakinan rakyat terhadap matlamat dan objektif pelaksanaan PPN. Pelaksanan PPN sewajibnya dapat menetapkan bentuk mekanisme kawalan dan pemantauan ke atas setiap program dan fokus pelaksanaan yang dijalankan. Sepatutnya dapat ditentukan dengan jelas akan piawai prestasi berdasarkan kualiti dan kuantiti.
Usaha membangunkan petunjuk prestasi berdasarkan analisis kos perlu dilakukan bagi memperhalusi tahap keberkesanan pelaksanaan dan impak ke atas rakyat serta implikasi terhadap sektor-sektor ekonomi, sosial dan kemanusiaan.
Menjadi keutamaan untuk memperinci bentuk dan proses kawalan bagi setiap program pelaksanaan yang dijalankan, pada masa yang sama mempergiatkan usaha untuk mengadakan audit prestasi bagi memperkukuhkan integriti dan akauntabiliti.
Pelaksanaan PPN sewajarnya mempunyai kecenderungan tinggi untuk memacu kemajuan ekonomi, serta mempertingkatkan status sosio ekonomi rakyat kepada tahap tertinggi, membolehkan rakyat terus menikmati kemakmuran negara dengan perkongsian pendapatan pada tahap tertinggi.
Apa yang penting rakyat harus dibebaskan daripada belenggu kemiskinan relatif. Badasarkan tujuan ini, maka pelaksanaan PPN perlu mempunyai perancangan inisiatif untuk menentukan ukuran pencapaian dengan membuat analisis hasil, kos dan ketepatan spesifikasi.
*DR. KAMARUDIN MUSA merupakan Penyelidik Perunding Human Resource Academy.