Umno Besut bersama parti, sikap Idris pandangan peribadi

Oleh ARIF ATAN

Umno Bahagian Besut mengambil ketetapan untuk menyokong penuh dan berdiri teguh dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Malaysia bersidang pada 3 Ogos lalu.

Ketuanya, Nawi Mohamad berkata, pendirian Umno Besut bersama parti yang selaras dengan ketetapan dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu itu susulan mesyuarat secara maya malam tadi.

“Sehubungan itu, Umno Bahagian Besut selari dan senada dengan pendirian parti dengan menjunjung titah dan berpihak tanpa berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pendirian Umno Besut juga sesuai dengan Perlembagaan Parti yang telah termaktub di bawah Fasa 3.3 (asal dan tujuan parti) iaitu mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan.

“Mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh, Ahli Parlimen Besut pada 5 Ogos 2021 adalah kenyataan peribadi dan tidak mengambarkan keputusan Umno Bahagian Besut,” katanya lagi.