Daripada bukan isu menjadi isu (Bahagian 1).
Kini para anggota polis khususnya di KL sedang sibuk merekodkan penyataan dari 107 Ahli Parlimen pembangkang di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah @ CPC.
Saya tidak rasa 107 MP yang dikatakan berhimpun tidak sah itu berbangga dengan insiden yang berlaku.
Apapun, jika kita memilih untuk berbincang isu ini secara terpisah dari susur-gulur apa yang berlaku, memang amat mudah untuk menjatuhkan hukum bersalah ke atas 107 MP tersebut.
Dan itulah malangnya yang telah dilakukan. Tapi adakah cara sebegitu adil dan saksama?
Mari kita lihat susur galur kisah tersebut “by keeping a cool head” dan melihatnya dari perspektif yang holistik dan sebenar.
Selepas itu terpulang untuk kita menghukum 107 MP tersebut. Saya rasa cara sebegitu lebih adil dan fair.
Bagi saya, susur galur kisah ini tidak bermula pada tarik insiden bersejarah itu. Sebaliknya, adalah munasabah untuk kita katakan ia bermula dari awal lagi apabila ada YB Menteri Gomen Tebuk Atap yang memilih untuk tidak berkata benar dan juga cuba mengelirukan Dewan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia atau mungkin satu dunia.
Kerana serangan bertalu-talu dari segenap penjuru di dalam Parlimen berkenaan isu kegagalan Kerajaan Tebuk Atap membentang, membahas dan mengundi Ordinan Pembatalan Darurat 2021 di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan (PP) di Dewan Rakyat, YB Menteri tersebut, saya lihat, cuba berusaha untuk mendiamkan kami semua kerana terlalu kuat serangan kami.
Akan tetapi, usaha beliau itu dilakukan dengan secara cuai dan gopoh gapah apabila dia mengisytiharkan di dalam Dewan Rakyat kononnya semua Ordinan Darurat yang digubal di luar Dewan semasa tempoh Darurat telah pun dibatalkan.
Sebagai mantan peguam yang agak biasa dengan isu-isu Perlembagaan, saya nampak dan tahu sangat “game” beliau.
“Game” beliau itu makin terserlah kejelikannya atau orang putih kata “rears its ugly head” apabila percubaan YB Puchong untuk menuntut Dewan agar masih terus membentangkan, membahas dan mengundi Ordinan Pembatalan Darurat di Dewan Rakyat dijawab oleh Speaker bahawa ianya tidak perlu kerana “YB Menteri telah pun berkata ianya telah dibatalkan” maka frasa “if not sooner revoked” di dalam Artikel 150 (3) PP terpakai”.
Saya berkata dalam hati “exactly what i suspected”.
Dalam bahasa mudah, jika dibaca secara harfiah dan rigid Artikel 150 (3) PP tanpa mengambil kira roh sebenar Perlembagaan dan prinsip “constitutionalism”, ya, benar, jika ordinan telah pun dibatalkan di luar dewan kenapa perlu ianya dibatalkan lagi di dalam dewan. Itulah logik Speaker. Logik, yang bagi saya, nak elak perbahasan dan pengundian.
Saya akui “game” tersebut pada awalnya memang seolah-olah berjaya memerangkap semua, khususnya para YB pembangkang. Ada juga YB Gomen Tebuk Atap yang bersuara, “ha ha, pembangkang sudah terperangkap!”.
Tetapi, Allah itu Maha Berkuasa. Keputusan “game” Menteri itu yang kelihatannya macam mereka menang, “kemenangan” itu bagaimanapun hanya boleh diraikan dalam tempoh yang terlalu singkat!
Apabila YB Ketua Pembangkang dan para MP pembangkang mula menyerang semula Menteri dengan soalan mudah ini:
“Adakah Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pembatalan Ordinan pembatalan tersebut YB? Dan jika sudah, bilakah ianya diperkenankan? Dan bila pula ianya diwartakan?”, menteri terkedu dan kaku.
Bagaimanapun, itulah proses biasa pembatalan sesuatu undang-undang. Mesti ada perkenan YDPA dan mesti diwartakan. Baru dikira sah dan muktamad. Selagi tidak sah atau muktamad, mana ada kerajaan berani umum.
Nampak sangat apabila berhadapan dengan soalan itu menteri berkenaan dan seluruh anggota Kabinet Tebuk Atap dan para MP mereka terkedu dan tunduk malu. Senyap sunyi tidak bersuara!
Ketika itu saya nampak mereka benar-benar telah terperangkap dan tidak tahu nak buat apa.
Kami semua pula terus mendesak, “YB Menteri, tolong minta jawab sekarang. Bila YDPA perkenan?”.
Menteri, saya tahu sangat, tidak boleh dan tidak akan mampu menjawab soalan mudah itu sebab dia sudah pun terlajak jauh berkata bahawa ordinan telah dibatalkan lebih awal.
InsyaAllah bersambung esok. Esok saya akan sentuh insya-Allah Speaker yang dilihat cuba selamatkan Menteri Tebuk Atap.