Agensi berita berpangkalan di London, BBC News semalam turut menyiarkan berita mengenai pemergian penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Laman Facebook portal berita tersebut juga dilihat dibanjiri komen masyarakat antarabangsa yang turut menitipkan ucapan takziah kepada ibu anak empat itu.
Rata-rata bersimpati dengan nasib arwah, dijangkiti Covid-19 dan dalam masa sama mengandung serta melahirkan bayi dalam keadaan ‘ditidurkan’.
BBC News dalam laporan, ‘Malaysian singer dies of Covid days after giving birth’ itu turut memetik ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Kematian Siti Sarah berlaku ketika Malaysia melonggarkan sekatan Covid-19 bagi mereka yang diberi vaksin sepenuhnya terhadap virus pada hari Selasa (semalam), walaupun negara sedang melalui gelombang terburuknya.
“Kelonggaran peraturan – yang memungkinkan penduduk yang divaksinasi dilonggarkan merentas perjalanan, bersukan, dan makan di luar – telah mendapat reaksi yang beragam.
“Parti-parti pembangkang telah mendesak untuk memikirkan kembali keputusan itu kerana bimbang ia akan menekan sistem penjagaan kesihatan,” lapor BBC News lagi.