Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) menegaskan tindakan menahan dan menyiasat beberapa individu yang didakwa ‘menghina’ Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai suatu bentuk intimidasi.
Timbalan Ketua #KANUNmuda, Azri Abdullah berkata, tindakan menahan mereka terbabit berdasarkan laporan polis yang dibuat Pegawai Khas Menteri Besar Kedah sendiri untuk membisukan dan menekan suara para pengkritik Sanusi.
“KANUN juga percaya bahawa laporan yang dilakukan oleh Pegawai Khas YAB MB Kedah tersebut sudah pasti dilakukan dalam pengetahuan YAB MB Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara yang ditahan seorang warga emas berusia 61 tahun yang menggunakan akaun ‘Kamal Hero Malaya’ di Facebook.
Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan pada jam 3.57 pagi, 9 Ogos lalu.
Membisu
Sehubungan itu, Azri menyifatkan sikap membisu Sanusi menunjukkan pemimpin Pas berkenaan bersetuju dengan segala tindakan intimidasi yang sedang berlaku.
“Mungkin MB Kedah lupa akan pesanan Rasulullah SAW, ‘Jihad yang paling utama ialah mengatakan kebenaran (berkata yang baik) di hadapan penguasa yang zalim.’ (HR. Abu Daud no. 4344),” jelasnya.
Justeru, Azri berkata, KANUN menggesa agar semua bentuk siasatan dan tahanan berkaitan kritikan kepada pemimpin negara segera dihentikan.
“Tindakan menahan pengkritik MB Kedah ini adalah yang terbaru dalam siri intimidasi yang telah pun dikenakan ke atas para pengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kritikan yang sedang ditujukan buat kerajaan semasa baik di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri Kedah adalah hasil manifestasi kemarahan rakyat yang sudah tidak tahan lagi melihat kegagalan #KerajaanGagal ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, KANUN bersedia untuk mewakili mana-mana individu yang ditahan atau didakwa berkaitan isu tersebut di mahkamah.
“KANUN juga mengambil kesempatan ini untuk menegur MB Kedah untuk lebih cermat dalam tingkah laku dan berkata-kata.
“Sudah banyak kali keterlanjuran kata dan kelancangan mulut MB Kedah telah memalukan institusi Menteri Besar Kedah itu sendiri.
“YAB MB Kedah diingatkan untuk jangan diperlebarkan timba ke perigi, kalau tak putus, genting,” tambahnya lagi.
Dalam satu sidang media pada 6 Ogos lalu, Sanusi antara lain menyebut, “Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama.”
Keesokannya, dia memohon maaf selepas menerima kecaman dan menyifatkan jawapan yang diberikan itu merupakan antara gurauannya dengan kumpulan wartawan yang sudah memahami karakternya sebelum ini.
Turut ditahan, seorang ahli perniagaan dan juruteknik yang berusia 45 dan 52 tahun masing-masing ditahan dalam serbuan berasingan di rumah mereka di Mergong dan Hutan Kampung di Kedah.
Telefon bimbit kedua-duanya dirampas pada 9 Ogos lalu susulan komen yang didakwa menghina Sanusi.
Semalam, penganalisa teknologi maklumat berusia 25 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Taiping, Perak.
Suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan juga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira 12 tengah malam.
Polis turut merampas telefon pintar milik suspek dalam serbuan itu dan dia dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.