Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau mendapat maklumat undi percaya mungkin dibuat lebih awal, bukannya pada 7 September.
Ahli Parlimen Arau itu mengulas pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin akan dibuat dalam Sidang Dewan Rakyat pada 7 September nanti.
“Saya tak berani bagi tarikh tapi mungkin dibuat (dalam sidang Dewan Rakyat) pada September juga, cuma lebih awal.
“Undi percaya mesti dibuat sebelum Titah Diraja, ini yang saya dengar, yang lain saya tidak tahu. Mungkin Saifuddin lebih tahu kerana dia Menteri Komunikasi (dan Multimedia) yang duduk diam saja,” katanya lapor BH.
Dalam sidang media secara maya hari ini, Saifuddin berkata, notis berhubung usul undi percaya itu telah dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat supaya diadakan pada 7 September ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota dari Bersatu itu berkata, notis mengenai usul tersebut dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat kepada semua wakil rakyat.
Sidang Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 dijadualkan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September depan.
Istiadat pembukaannya dijadual akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 6 September ini.
Mengikut kelazimannya, hari pertama aturan mesyuarat hanya berkaitan istiadat pembukaan dan Dewan Rakyat hanya bersidang separuh hari.
Bagaimanapun, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sedang berdepan gesaan agar sidang Parlimen diawalkan.