Selangor akan lancar SEHAT bagi menangani kesihatan mental ekoran Covid-19

Oleh BORHAN AHMAD

Melihat kepada trend dalam masyarakat yang berhadapan dengan pandemik Covid-19, kerajaan negeri Selangor melancarkan satu inisiatif baharu untuk membantu menangani isu kesihatan mental di negeri ini yang dinamakan Selangor Sihat Mental (SEHAT).

Ini berdasarkan faktar bahawa sejak Januari hingga Jun 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan hampir 89% daripada jumlah panggilan Talian Bantuan Sokongan Psikososial melibatkan sokongan emosi dan kaunseling.

“Melihat kepada tren ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui portfolio Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan memperkenalkan program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang merupakan suatu inisiatif holistik dan mampan khusus untuk membantu menangani isu kesihatan mental di negeri ini,” kata Dr Siti Mariah Mahmud, pengerusi portfolio berkenaan.

Inisiatif SEHAT ini, katanya, dilaksanakan dengan kerjasama pasukan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan NGO (MIASA).

SEHAT merangkumi beberapa program komponen seperti advokasi, saringan kesihatan mental, pembangunan modul dan latihan kaunselor.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri sedang dalam proses mengintegrasikan fungsi SEHAT ke dalam aplikasi SELangkah yang akan membolehkan rakyat negeri ini melakukan saringan kesihatan mental kendiri dan mendapat akses intervensi awal secara atas talian seperti talian kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah dan forum sokongan ‘peer’.

Bagi menerangkan berkenaan inisiatif SEHAT secara terperinci, pihak pentadbiran ini akan mengadakan majlis Pra-Pelancaran SEHAT yang akan diumumkan oleh Dr Siti Mariah pada 14 Ogos 2021, jam 8.00 malam ini.

Sempena majlis ini, turut diadakan bicara kesihatan mental edisi khas bertajuk “Pandemik Covid-19: Bagaimana Mengurus Mental dan Emosi Agar Kekal Sihat?” yang menampilkan panelis dari pelbagai latarbelakang khusus untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental.