1. Saya telah menjelaskan pandangan saya mengenai soalan pertama iaitu, “bolehkah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memecat seorang PM yang telah kehilangan sokongan majoriti tetapi masih enggan atau berdegil tidak mahu meletak jawatan?”
2. Insha-Allah, saya akan cuba menjawab soalan kedua pula.
Soalan Kedua:
“Bolehkah seseorang PM yang kehilangan majoriti dan keabsahan itu menyerahkan “baton” pelantikan PM baru kepada seorang lain atau mana-mana menteri di Kabinetnya (semasa beliau menjadi PM)?
3. Jawapan ringkas saya adalah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI.
Mengapa?
Saya akan terangkan di bawah ini alasan- alasannya.
Pertama, jawatan PM itu bukan seperti kes lumba lari berganti-ganti yang mana seseorang pelari itu boleh bertukar baton kepada seorang pelari yang lain.
Kedua, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan (PP), telah ditetapkan suatu mekanisme tertentu bagi pelantikan mana-mana PM.
Ketiga, secara mudahnya, kuasa pelantikan seorang PM – berdasarkan PP – hanya boleh ditentukan atau dilakukan oleh YDPA sahaja iaitu di bawah Artikel 43 (2) (a) PP.
Oleh itu, “the outgoing PM” tidak ada kuasa sama sekali untuk mewariskan jawatan PM kepada sesiapa pun.
Jika saya boleh katakan dalam bahasa Inggeris, “the outgoing PM has no say at all in the business of appointing a new PM!”.
Keempat, dalam skema PP, seorang PM itu dan anggota Kabinetnya adalah ibarat kerajaan itu sendiri.
Oleh itu, jika beliau telah kehilangan jawatannya, dengan apa sebab sekalipun, dia membawa sekali keseluruhan anggota Kabinetnya “runtuh” atau “tumbang” bersama sama beliau.
Ini kerana apabila seorang PM itu kehilangan jawatan, para anggota pentadbiran di dalam Kabinet beliau itu tidak boleh lagi “berdiri” secara bersendirian.
Mereka wajib meletak jawatan bersekali dengan “tekong” mereka iaitu PM yang kehilangan jawatan itu.
Hatta, menurut skema PP, semasa seorang PM itu masih sah memegang jawatan sekalipun, tidak boleh ada mana-mana anggota Kabinet yang boleh tidak bersetuju dengan segala keputusan beliau – PM – yang dianggap keputusan keseluruhan Kabinet atau keputusan kerajaan. Alternatif untuk tidak bersetuju adalah meletakkan jawatan.
Prinsip itu lahir berdasarkan doktrin “pertanggungjawaban kolektif” atau “collective responsibility.”
Secara tersirat, doktrin itu mengisyaratkan bahawa PM dan para anggota pentadbiran (istilah dalam PP) berdiri dan jatuh bersama- sama. Mereka ibarat “kembar siam” atau “two sides of the same coin”.
Kelima, dalam isu pelantikan PM di bawah PP, meskipun ianya diletakkan di bawah budi bicara baginda seperti mana yang dinyatakan di bawah Artikel 40 (2) (a) PP, hatta PP itu sendiri meletakkan “condition precedent” yang mengawali tatacara pelaksanaan budi bicara baginda itu sendiri.
Bagi saya, ini tidak pelik kerana sejak PP digubal oleh Suruhanjaya Reid, telah diniatkan dan ditentukan dari awal bahawa negara ini mengamalkan doktrin Raja Berperlembagaan (constitutional monarchy) dan bukannya doktrin Raja Mutlak (absolute monarchy).
Alhamdulillah, YDPA, saya yakin, amat arif hal tersebut.
Apakah syarat penting atau “condition precedent” yang mengawal pelaksanaan budi bicara YDPA dalam pelantikan seorang PM?
Syarat penting itu boleh dilihat pada frasa di Artikel 43 (2) (a) PP iaitu calon PM itu hendaklah seorang ahli Dewan Rakyat (senator tidak boleh) yang, “in his judgement is likely to command the confidence of the majority of the members of the house” (yakni ahli ahli Dewan Rakyat)”.
4. Ada juga yang bertanya, “seandainya dilantik calon PM dari kalangan menteri kerajaan PN”, bolehkah ianya dibuat?”
Jujurnya, pada hemat saya, ianya bukan sahaja tidak manis tetapi juga mungkin boleh disalah tafsir seolah-olah negara ini tidak langsung menghormati SUARA RAKYAT yang mereka suarakan pada PRU-14 iaitu pada 9 Mei 2018.
Dan, insha-Allah saya amat yakin YDPA amat peka kepada perkara ini dan kita menyerahkan kepada wisdom atau kebijaksanaan YDPA yang menaungi rakyat negara ini.
Suka atau tidak suka, realitinya, PM yang telah hilang majoriti dan keabsahan ini telah melakukan banyak perkara yang membawa beliau kepada fasa ini – fasa kehilangan kepercayaan yang hampir mutlak kepada beliau dan kerajaan yang diterajui oleh beliau untuk terus dibenarkan menjadi kerajaan.
Secara mudah, berasaskan doktrin “pertanggungjawaban kolektif” yang saya terangkan di atas, kehilangan kepercayaan itu HAKIKATNYA adalah ketidakpercayaan BUKAN sahaja kepada PM seorang tetapi juga kepada KESELURUHAN anggota pentadbiran dalam Kabinet PM itu dan juga parti yang mereka wakili.
Oleh yang demikian, dari segi etika dan moral dan juga prinsip serta roh Perlembagaan, amat amat tidak manis jika diandaikan akan dilantik PM yang baru itu misalnya, dari kalangan mana-mana menteri atau pemimpin yang mendukung kerajaan yang diterajui oleh PM yang telah hilang keabsahan untuk menerajui negara itu.
Perlembagaan itu tidak boleh sama sekali dipisahkan dari prinsip- prinsip luhur yang menggarisbawahi prinsip demokrasi berparlimen yang mana asas tunjangnya aspirasi rakyat seperti yang digambarkan melalui suara mereka.
Sudah tentu dalam konteks negara ini, suara rakyat pada 9 Mei 2018.
5. Jika ditanya saya, “siapakah calon yang layak menggantikan PM yang telah hilang keabsahan itu?” , dengan hormat, saya berpendapat ia sewajarnya diberikan pada calon pilihan dari PH yang mewakili blok majoriti terbesar pada waktu ini.
Lazimnya, dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen sebenar, itulah yang biasa diamalkan. Itulah convention atau etika politiknya.
Maaf, di atas itu sekadar pandangan saya.