Covid-19: 20,546 kes baharu, penurunan tiga hari berturut-turut

Oleh ARIF ATAN

Kes baharu harian Covid-19 merekodkan penurunan untuk tiga hari berturut-turut apabila sebanyak 20,546 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam, berbanding 20,670 semalam.

Perkembangan itu juga bermakna, Malaysia mencatat kes baharu harian di bawah paras 21,000 kes selepas dua hari berturut-turut di atas angka berkenaan pada 12 dan 13 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam laman Twitter berkata, jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat ini ialah 1,404,899 kes.

Lapan negeri dan wilayah mencatatkan jangkitan baharu empat angka dengan
Selangor mencatat kes harian tertinggi sebanyak 7,307 kes.

Ini diikuti Sabah (1,665), Kedah (1,596), Johor (1,508), Kuala Lumpur (1,442), Pulau Pinang (1,111), Perak (1,069) dan Kelantan (1,025).

Sementara itu, Sarawak mencatatkan 963 kes disusuli Pahang (926), Negeri Sembilan (698), Melaka (631) dan Terengganu (534 kes).

Selain itu, Putrajaya dengan 47 kes, Perlis (21) dan Labuan tiga kes.