Isyarat awal kerajaan Mahiaddin tumbang: Khairy sayu mohon maaf

Oleh ARIF ATAN

Bagai memberi isyarat tumbangnya kerajaan diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin,
Khairy Jamaluddin menjadi menteri pertama tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia hari ini.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak sepanjang berkhidmat sejak 10 Mac tahun lalu.

“Saya mengambil peluang di sini untuk memohon maaf kepada sesiapa yang ada pengalaman buruk dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan kerajaan.

“Namun saya berjanji akan terus lagi belajar, menambah baik dan berjuang untuk keadaan lebih sempurna selepas ini,” kata Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi itu.

Khairy, 45, yang juga Ahli Parlimen Rembau dari Umno tersebut berkata demikian menerusi dua rakaman video versi bahasa Melayu dan Inggeris masing-masing berdurasi 8 minit 45 saat dan 7 minit 12 saat itu.

Dalam masa sama, menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan memberi perkhidmatan terbaik dengan sasaran 50 peratus dewasa lengkap dua dos pada akhir bulan ini.

Khairy juga berharap orang ramai tidak berasa bimbang dengan insiden suntikan kosong yang ditularkan sebelum ini kerana menyifatkan ia hanya kes terpencil selain isu kesesakan di pusat pemberian vaksin.