Solat hajat PN kekal: Pas mengundang cemuhan warganet

Oleh ARIF ATAN

Pas dilihat hanya mengundang cemuhan dan sindiran orang ramai susulan seruan terhadap ahlinya agar mendirikan solat hajat dan munajat malam ini mengelak kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Reaksi warganet itu membanjiri ruangan komentar Facebook Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memuat naik hantaran berkaitan gesaan solat hajat dan munajat itu.

Ada menyifatkan Pas akan dikhianati selepas parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bersekongkol dengan segerombolan pengkhianat mengakibatkan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari tahun lalu.

“Bila berkawan dengan pengkhianat, memang kebiasaannya akan dikhianatilah,” tempelak pengguna Facebook, Syed M Alsagoff.

Terdapat juga cemuhan yang antara lain mendakwa agama kembali ditunggang selepas mulai nampak kuasa akan hilang sejurus Mahiaddin menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara siang nanti.

Ramai juga berpendapat Pas kini begitu terdesak memandangkan kehilangan kuasa sebagai kerajaan Persekutuan bererti kehilangan wang.

“Risau duit poket sendiri saja ni, takut hilang jawatanlah tu. Tak perlu canang sebab Covid-19 kononnya tidak boleh berpolitik,” bidas Irfansyah Al-Alami.