Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menzahirkan rasa kecewa apabila pemimpin dalam kalangan mereka rakus mengejar jawatan sehingga berkali-kali melanggar keputusan parti.
Dr Puad Zarkashi dalam hantaran ringkasnya pagi ini berkata, pimpinan mereka bukan sahaja melanggar keputusan di Janda baik, Perhimpunan Agung Umno dan keputusan MKT 3 Ogos lalu.
“Beberapa jam sebelum ke Istana pun mereka mahu langgar juga,” kata beliau.
Beliau turut menyifatkan tindakan pemimpin Umno hari ini menjadi pewaris parti yang menjahanamkan parti.
“Supaya parti lenyek kena langgar? Kenapalah tidak serik-serik lagi?” soal beliau.
Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri telah bertemu dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha untuk mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.
Hal itu disahkan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya yang turut hadir dalam pertemuan di rumah Mahathir di Seri Kembangan, Selangor petang tadi.
Menurutnya, perjumpaan melibatkan Ahli Parlimen Bera dari Umno dan bekas Perdana Menteri itu berlaku kira-kira pukul empat petang tadi selama setengah jam.