Kerajaan majoriti Melayu-Islam pecah, perbanyak usaha bipartisan tentukan dasar negara

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri sudah letak jawatan pun. Mungkin ada orang kata, sudah-sudahlah. PM sudah pun letak jawatan. Sebenarnya, banyak perkara yang kita boleh pelajari daripada peletakkan jawatan atau krisis politik ini.

Retorik penyatuan Melayu-Islam dengan membentuk majoriti kerajaan Melayu-Islam tidak berjaya memastikan kestabilan politik dan pembuatan serta pelaksanaan dasar-dasar awam yang baik dan jelas.

Kerajaan majoriti Melayu-Islam, sebenarnya satu ungkapan politik yang akhirnya terpecah dek kerana persaingan kuasa sesama parti-parti sama ideologi yang ingin menjadi dominan dalam gabungan.

Kita harus jujur, bahawa ini bukan persaingan antara Melayu dan bukan Melayu tetapi persaingan antara sesama Melayu dalam survival politik masing-masing.

Akhirnya, kita melihat bagaimana strategi rentas politik dicadangkan oleh Tan Sri Mahiddin Yasin untuk mengekalkan kuasa.

Untuk maju ke hadapan, kita harus bergerak ke arah yang lebih terbuka dan berani.

Parti-parti politik/kerajaan yang mentadbir perlu memperbanyakkan lagi usaha bipartisan dalam menentukan dasar-dasar negara. Khususnya, konsultasi belanjawan bersama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Institusi Parlimen mesti diperkasakan menjadi tempat atau wadah Ahli-Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan eksekutif menjadi semak imbang kepada badan eksekutif melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (komposisi yang sama banyak bagi pembangkang dan kerajaan).

Termasuk lantikan-lantikan utama yang perlu melalui proses saringan dari jawatankuasa.

Wacana perkauman, harus diimbangi dengan wacana pembaharuan institusi dan kerjasama rentas ideologi politik.

Dasar awam adalah rumusan spektrum politik yang pelbagai dan mesti menyelesaikan serta menguruskan masyarakat yang pelbagai.

Kerajaan tidak tahu semua perkara. Oleh sebab itu, memerlukan penglibatan pembangkang, industri, orang awam dan lain-lain untuk terlibat dalam pembuatan keputusan yang terbaik.

Kenapa kita mesti terus bersuara?

Sebab ahli politik meletakkan jawatan hanya selesai satu perkara. Kita masih banyak masalah dan isu yang harus diuruskan.

Dia meletakkan jawatan tetapi kesan pentadbiran beliau diwarisi oleh kita, rakyat dan negara. Terus bersuara dan bising!