Nik Abduh anggap buat apa kalut, netizen ingatkan isu bendera putih

Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz malam ini menasihatkan usah bersedih sebaliknya mendoakan yang terbaik untuk negara.

Reaksi Ahli Parlimen Bachok itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin sebagai Perdana Menteri petang tadi.

“Doakan yang terbaik untuk negara. Yang gembira, gembiralah. Yang sedih, usahlah bersedih.

“Kalau kita tahu dan beriman bahawa semua di tangan Allah, buat apa kalut dan keluh kesah?” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu mengingatkan hal yang hilang kembali kepada Allah.

“Bahkan, akan berganti dengan yang lebih baik daripada sisi-Nya insya Allah. Nikmat dan rezeki tidak pernah sifar,” katanya.

Walau bagaimanapun, rata-rata daripada lebih 800 komentar yang ditinggalkan warganet hanya dalam tempoh dua jam itu dilihat bernada kecaman dan sindiran.

Ini termasuklah kenyataan Nik Abduh pada Jun lalu yang menegaskan angkat tangan berdoa bukannya mengangkat bendera putih.

Dia berpendapat rakyat sepatutnya tidak diajar untuk menghadapi kekalahan sebaliknya sentiasa berdoa supaya mendapat pertolongan daripada Allah dalam segala hal.

“Jangan sedih, ambil iktibar kes bendera putih. Itu semua bermaksud tidak cukup berdoa la tu. Tadahkan tangan dan doa untuk yang terbaik,” perli Fikrie Yahya.

Hal sama dibangkitkan Fariz Hazwan yang menulis, “Orang kibar bendera putih pun kau perli. Tak perlu nak buat cerita sedih.”

Tidak kurang juga yang berpendapat rakyat masih berduka kesan daripada kegagalan kerajaan PN.

“Dari segi pemberian vaksin pun kita ketinggalan enam bulan di belakang. Ramai yang meninggal dunia dan menderita,” luah Shahrel Agus.

Untuk rekod, kes kematian akibat Covid-19 menyaksikan pertambahan yang membimbangkan dengan sebanyak 12,784 kes kumulatif setakat ini.

Dalam masa sama, jumlah kes kematian di luar hospital (BID) akibat jangkitan Covid-19 mencatatkan peningkatan ketara sejak dua minggu lalu.

Hari ini sahaja 77 kes BID dilaporkan manakala 101 kes sama diumum semalam.

Selain itu, ada juga warganet yang secara sinis meluahkan penghargaan kepada kerajaan PN kerana telah menyerlahkan sifat sebenar Pas.

“Terima kasih kepada kerajaan PN kerana berjaya menunjukkan wajah pemimpin Pas yang sebenar apabila mereka mendapat kuasa,” kata Nor Azwah pula.