Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini meminta Ahli Parlimen membuat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai perdana menteri seterusnya.
Atas titah Yang di-Pertuan Agong menurut Speaker Ahli-ahli Parlimen hendaklah menyerahkan akuan berkenaan pada hari Rabu (esok) sebelum jam empat petang.
Melalui notis Speaker surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran-butiran iaitu identifikasi anggota parlimen secukupnya.
“Identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan,
“Penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.
“Tandatangan.
“Tandatangan atau cop rasmi saksi (sama ada seorang peguam bela atau peguam cara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi yang berhormat yang berada di luar negara).
“Dan tarikh surat akuan,” kata Speaker.
Bagaimanapun, beliau menegaskan serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan Covid-19 di Istana Negara
Azhar turut mengingatkan Ahli Parlimen surat yang tidak mematuhi perkara-perkara tersebut ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.
“Ahli-ahli parlimen diingatkan supaya menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara ini,” katanya.