Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira jam 1.23 petang tadi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian berkenaan tiba menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
Ini diikuti ketibaan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekitar 1.45 petang.
Selang kira-kira 10 minit kemudian, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula tiba memasuki Istana Negara menerusi Pintu 2.
Turut tiba ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menaiki kenderaan berwarna putih.
Seterusnya, ketibaan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyaksikan bekas Menteri Pertahanan itu sempat melambaikan tangan kepada petugas media.
Ini diikuti kemudiannya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menaiki kereta jenis Lexus berwarna hitam.
Lebih 50 petugas media pelbagai agensi berada di lokasi itu menunggu ketibaan pemimpin parti politik terbabit.