Kejayaan Taliban menguasai kembali Afghanistan selepas digulingkan Amerika Syarikat (AS)
pada 7 Oktober 2001 menarik perhatian Pas hari ini dan menganggapnya sebagai suatu “kemerdekaan” daripada cengkaman penjajahan.
Ia juga adalah kemenangan buat rakyat Afghanistan yang membebaskan tanah air mereka, kata Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau yang juga anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut menyifatkan pencerobohan AS ketika era pentadbiran Presiden ke-43, George W Bush itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Kemenangan dan ‘kemerdekaan’ yang dicapai kali ini adalah hasil usaha seluruh rakyat Afghanistan dalam usaha untuk membebaskan tanah air mereka yang selama 20 tahun dijajah dan diceroboh dengan tanpa belas ihsan dan perikemanusiaan hingga hampir memusnahkan negara tersebut,” katanya.
Menerusi kenyataan hari ini, Khalil berkata, semua pihak yang berkaitan dapat berganding bahu membangunkan semula Afghanistan dengan “kemenangan” itu.
Untuk rekod, kejayaan Taliban memasuki ibu negara, Kabul, dan mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran hanya 10 hari menyaksikan Presiden, Ashraf Ghani, meninggalkan negara itu pada 15 Ogos lalu.
Ashraf yang dikatakan menuju ke Tajikistan mendakwa Taliban sudah menang melalui ‘pedang serta senjata api’ sejurus masuk ke Kabul yang berlaku secara aman.
Mengulas lanjut kembalinya Taliban menguasai Afghanistan itu, Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk di Terengganu berharap rejim tersebut dapat membangunkan negara itu.
“Semoga kerajaan baru Afghanistan dan rakyatnya berganding bahu dan berkerjasama membangunkan negara seterusnya memperolehi kemakmuran, keamanan dan kemajuan selepas ini dengan berpandukan syariat dan nilai-nilai Islam yang syumul di samping mendapat rahmat, keberkatan dan pertolongan Allah SWT,” kata Khalil.
Dalam hal berkaitan, Taliban memberi jaminan tidak akan membalas dendam terhadap ‘lawan’ dan penentang mereka termasuk yang berpihak kepada kerajaan didukung negara Barat selama dua dekad lalu.
Kenyataan Taliban itu susulan puluhan ribu penduduk Afghanistan berusaha keluar dari negara itu untuk menyelamatkan diri daripada pemerintahan kumpulan itu.
Situasi huru-hara rakyat negara itu di lapangan terbang Kabul bahkan sanggup memanjat dan mengejar pesawat yang sedang meninggalkan landasan dikaitkan dengan kebimbangan mereka akan dikenakan hukuman.
Walau bagaimanapun, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata rejim baharu Taliban kali ini akan sangat berbeza daripada rejim zaman 1996-2001, yang terkenal melaksanakan hukuman rejam dan melarang wanita bekerja dalam persekitaran bersama lelaki.
Ekoran kemenangan kumpulan itu, pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar yang digulingkan AS hampir 20 tahun lalu akhirnya dapat pulang ke Afghanistan.