Rata-rata orang ramai mengkritik pengumuman Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berhubung kebenaran makan di restoran.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan dilihat lebih baik tidak lagi tampil membuat sebarang pengumuman memandangkan kes Covid-19 terus melonjak dan kadar vaksinasi pula masih rendah.
Pengguna Facebook, Sugu Kumar berpendapat kelonggaran itu sepatutnya belum lagi boleh diberikan kerana jangkitan harian masih melonjak bahkan tertinggi hari ini dengan 22,948 kes.
“Kes semakin hari meningkat, lagi nak benarkan makan di kedai. Pesan dalam talian, makan bersama keluarga. Kita jaga kita,” katanya.
Sementara itu, Lee Duan pula menyifatkan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri yang gagal sebelum ini masih tidak berhenti membuat kerosakan.
“Kanak-kanak bawah 17 tahun kebal Covid ke? Mereka yang dah vaksin pun boleh jadi pembawa. Duduk diam sajalah, tak payah umum apa-apa lagi,” tempelaknya.
Pandangan sama dilontarkan Muzaffar Syah Mallow yang berkata, “Kes jangkitan berpuluh ribu, masih nak benarkan orang ramai makan diluar? Otak letak di mana?”
Sehubungan itu, ramai menganggap lebih selamat pada masa ini makan sahaja di rumah atau membawa pulang makanan dari kedai ketika negara masih diancam penularan varian Delta yang amat berbahaya.
“Penting sangat ke nak makan di restoran ni? Makan di rumah tak ok ke? Risiko tetap ada. Kena berhati-hatilah makan di restoran,” kata Mokhtar Merida.
Terdahulu, Mahiaddin mengumumkan beberapa kemudahan tambahan kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Selain kebenaran makan di restoran, individu terbabit juga dibolehkan melakukan aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu berkuat kuasa esok.
Jelasnya, kemudahan tambahan itu diputuskan selepas mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang sudah melebihi 50 peratus, lebih awal berbanding iaitu 31 Ogos.
Selain itu, katanya, ia turut mengambil kira penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Untuk rekod, angka kes positif Covid-19 hari ini adalah tertinggi dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Sebanyak 22,948 kes jangkitan baharu dengan Selangor, Sabah dan Kedah menunjukkan trend membimbangkan manakala 178 pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes positif di Malaysia sebanyak 1,489,460 kes manakala jumlah kematian sudah mencecah 13,480 kes.