AMANAH Kedah gandakan anggota bantu mangsa banjir ‘kepala air’ Gunung Jerai

Oleh BORHAN AHMAD

Untuk hari kedua dan ketiga AMANAH Negeri Kedah, Pemuda, Arif Negeri dan juga Nasional lipat gandakan anggota bagi membantu membersihkan kediaman penduduk sekitar Yan dan juga Merbok yang terkesan teruk ekoran banjir kilat dan lumpur yang memenuhi setiap kawasan dalam tragedi ‘kepala air’ baru-baru ini.

Pemuda dan Arif Negeri Kedah serta Nasional turun padang membersihkan lumpur yang memenuhi kediaman penduduk.

Dalam misi hari kedua sebanyak 25 buah rumah telah berjaya dibersihkan dengan kedalaman lumpur antara satu hingga dua kaki.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad, pada hari ketiga jumlah rumah kediaman yang dibersihkan adalah sebanyak 20 buah rumah.

“Bagi memastikan kediaman penduduk berjaya dibersihkan sebaik mungkin jentera pengorek dan sebuah lori juga digunakan bagi memastikan lumpur dan sampah sarap yang dihanyutkan air dapat dialihkan dengan kadar segera.

“Selain kerja-kerja pembersihan sampah dan lumpur, makanan dan barangan keperluan harian juga diagihkan bagi membantu keluarga yang terkesan dengan musibah tersebut.

“Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar yang baru keluar hospital juga turut turun padang bersama-sama membantu bagi membersihkan kediaman penduduk yang terlibat sejajar dengan cogan parti iaitu, AMANAH, PROGRESIF dan PEDULI,” ujar beliau.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar turut sama membantu membersihkan kediaman penduduk terlibat walaupun baru sahaja keluar dari hospital.