Trivia menarik bukan jaminan jadi PM baik

Oleh ARIF ATAN

Memang tidak bermanfaat jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan penyokong marah sehingga mengamuk sekarang kerana akhirnya akan mendapat susah.

Sementelah pula titah dan keputusan Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak boleh disanggah kerana ia satu kesalahan besar.

Dengan bertenang dan menarik nafas, pemimpin PH dapat memikirkan dengan mendalam apa yang perlu diusahakan mulai sekarang sehingga tiba Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Sebagai pemerhati politik tanah air, terutamanya menyokong PH, bohonglah jika mengatakan saya tidak kecewa. Saya memang kecewa kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal lagi dalam percubaannya menjadi Perdana Menteri (PM).

Saya senada dengan seorang rakan penulis dan penganalisis politik veteran yang mengaku sangat hampa ekoran Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia yang ke-9.

Katanya, kegagalan Anwar sekali lagi adalah soal lain. Apa yang beliau sukar terima ialah bagaimana Umno boleh bangun kembali berkuasa dengan cepat setelah jatuh kira-kira 39 bulan.

Tambahnya, beliau ingin melihat bagaimana Malaysia bergerak tanpa Umno yang diharapkan jatuh dalam tempoh yang lama. Impian untuk menikmati Malaysia baharu akan lenyap, sebaliknya kembali ke belakang kerana Umno-BN sekali lagi menjadi ‘pentadbir’ PRU – kali ini, PRU-15 pula.

Begitu pun, saya bersetuju dengan Anwar yang mengatakan pelantikan Ismail sebagai PM baharu perlu diterima dengan kecekalan yang jitu. Ia, kata Ketua Pembangkang itu, mencabar PH untuk bekerja lebih gigih menghadapi PRU-15, dan memenangi semula mandat rakyat yang diperoleh pada PRU-14 lalu.

Ketika ini, tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, semua pihak harus bertumpu pada usaha menangani wabak Covid-19, dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, Anwar mengajak kita semua berdoa dan berusaha agar krisis wabak pandemik itu, dan ekonomi segera ditangani, serta diatasi demi rakyat.

Berkecil hati

Pada 20 Ogos lalu, YdPA memberi perkenan untuk Ismail dilantik sebagai PM kesembilan menggantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang meletakkan jawatan, empat hari sebelumnya.

Ismail yang merupakan Naib Presiden Umno, mengangkat sumpah jawatan di hadapan YdPA di Istana Negara pada 21 Ogos lalu, sebelum memulakan proses membentuk Kabinet baharu.

Anwar turut dicalonkan untuk jawatan tertinggi itu, tetapi gagal memperolehi sokongan majoriti mudah ahli Parlimen yang dikehendaki.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, meskipun mengalu-alukan pelantikan Ismail, tetapi sedih dan berkecil hati apabila PH yang mendapat mandat rakyat dalam PRU-14 tidak memperoleh mandat itu semula.

Bagi Mohamad, mungkin rakyat melihat proses PRU hanya sia-sia. Justeru, beliau menegaskan proses demokrasi berparlimen di Malaysia perlu diperteguh semula.

Tegas Mohamad, rakyat perlu diyakinkan agar ‘insiden langkah Sheraton 2020’ tidak akan berulang kerana kalau berlaku lagi, ertinya sistem yang dipilih ini telah hancur, dan perlu diperbaik menjelang PRU-15.

Bukan hanya saya, malah ramai yang kecewa bercampur pelik kerana PH yang memenangi PRU-14 akhirnya menjadi pembangkang, tetapi BN yang tewas kini kembali menjadi kerajaan.

Benar kata Mohamad memang sukar untuk meyakinkan semula rakyat lantaran keganjilan yang saya fikir hanya berlaku di Malaysia ini. Begitu pun, katanya, yang penting sistem demokrasi berParlimen perlu dipertahan kerana rakyat perlu membuat pilihan.

Ahli Parlimen Pulai merangkap Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga berharap semua pihak, terutama PH dapat bertenang dan terus bekerja.

Tidak baik mengharapkan atau meminta keburukan. Namun begitu, bagaimana akan muncul kebaikan jika Ismail lebih buruk daripada Mahiaddin?

Kurang adil menghukum Ismail sebelum memberi peluang kepadanya. Walau bagaimanapun, Ismail sudah ada rekod bertugas sebagai menteri Kabinet, dan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Kita telah melihat dan boleh menilainya.

Gagal dipikul

Jika jawatan lebih rendah daripada PM pun gagal dipikul dengan baik, apa yang boleh kita harapkan daripada Ismail mulai 20 Ogos lalu?

Sebagai pembangkang, PH tetap mahu menumbangkan BN 2.0 tanpa mengira prestasi kerajaan pimpinan Ismail ini nanti akan lebih baik daripada Kerajaan PN, apatah lagi lebih buruk!

Ada penganalisis politik mengatakan sebarang butiran rundingan yang dibuat untuk Ismail mendapat sokongan ahli Parlimen lain akan terzahir tidak lama lagi.

Kata James Chin, ia bakal didedahkan secara tidak langsung melalui pembentukan Kabinet baharu nanti. Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Ismail, mantan TPM dalam Kerajaan PN – akan mengekalkan barisan Kabinet PN, atau merombaknya.

Itu termasuklah dua jawatan menteri yang kosong, iaitu untuk Kementerian Pengajian Tinggi, serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang sebelum ini masing-masing disandang oleh Ketua Wanita Umno merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Dr Noraini Ahmad, dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Noraini dan Shamsul Anuar adalah dua daripada sembilan ahli Parlimen Umno yang akur pada arahan pucuk pimpinan supaya menarik diri daripada Kerajaan PN.

Tujuh ahli Parlimen lain kekal dengan jawatan masing-masing sebelum Mahiaddin, dan Kabinet meletakkan jawatan serentak.

Memang tidak elok mengharapkan keburukan. Walau bagaimanapun, laporan Reuters memetik Felo Kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun sebagai berkata, Ismail bakal menghadapi masalah gabungan tidak stabil ekoran majoriti tipis yang diraihnya, serta perpecahan dalaman Umno.

Justeru, jika Kerajaan PN berusia kira-kira 17 bulan, hayat Kerajaan BN 2.0 mungkin (diharapkan) akan lebih singkat.

Oh dilaporkan berkata masih ramai yang tidak menyukai Ismail (dalam Umno) kerana mereka anggap beliau mengkhianati parti, dan memperoleh jawatan tertinggi dengan cara sedemikian.

Beberapa minggu menjelang peletakan jawatan Mahiaddin, berlaku perpecahan ketara dalam Umno dengan Ismail mengetuai sekumpulan ahli Parlimen yang lebih besar untuk kekal berada dalam pentadbiran PN sehingga ke akhirnya.

Ketika semua mata tertumpu pada kerusi TPM, dan spekulasi kononnya ia akan diisi oleh seorang mantan menteri kanan dari Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berharap jawatan tersebut diberikan kepada pemimpin dari Sabah, dan Sarawak.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, keutamaan harus diberikan khususnya kepada pemimpin dari Sarawak kerana negeri itu banyak menyumbang jumlah sokongan pencalonan PM kepada Ismail.

Justeru, Jeffrey berpendpat memang wajar jawatan TPM diberikan kepada pemimpin dari kedua negeri itu sebagai penghargaan kepada sokongan mereka. Saranan itu, tegasnya, wajar dipertimbang.

Tambah Jeffrey, siapa calon TPM bukan satu masalah baginya kerana yang penting ialah jawatan itu diberikan kepada pemimpin dari Sabah/Sarawak, malah yang pastinya dari Sarawak. Ini boleh dianggap sebagai cabaran pertama untuk Ismail.

Kebangkitan pantas

Walaupun dilantik menjadi PM merupakan kebangkitan pantas Ismail kerana kerjaya politiknya mendapat manfaat besar di sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, tetapi beliau tetap bukan PM pilihan rakyat.

Mungkin kedengaran mistik, tetapi tidak mustahil penolakan rakyat tanpa doa restu bakal menjejaskan ketahanan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera.

Menariknya, ketika belum pun dipilih – baru dicalonkan sahaja, begitu ramai yang menandatangani petisyen menolak beliau sebagai PM ke-9.

Di sebalik perkembangan kerjaya politiknya tidak berdepan dengan cabaran yang besar, Ismail tidak terlepas daripada kontroversi.

Tiada yang menarik pada Ismail kecuali beberapa trivia. Selain sebagai TPM paling singkat, beliau juga ketua pembangkang pertama (ketika PH memerintah) di Malaysia yang berjaya menjadi PM.

Ismail juga menghadapi COVID-19 dengan tiga jawatan Kabinet berbeza dalam dua kerajaan.

Ekoran Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpaksa bercuti pada akhir 2018, Ismail dipilih menjadi ketua pembangkang ketika pemerintahan PH.

Kedudukannya sebagai ahli Parlimen nombor dua dalam Umno membuka peluang untuk Ismail diberikan jawatan menteri kanan dalam Kerajaan PN, iaitu Menteri Pertahanan merangkap Menteri Kanan Keselamatan, dan TPM – memandangkan Zahid dibelenggu perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah.

Jawatan menteri kanan itu tambah mempopularkan Ismail kerana beliau setiap hari muncul di televisyen tempatan mengendalikan sidang media COVID-19.

Begitu pun, ada rekod dan trivia sahaja tidak berguna kerana Ismail gagal – kes harian COVID-19 meningkat dan terus meningkat. Ada popular yang baik dan ada yang sebaliknya. Popular kerana keburukan memang tidak dikehendaki.

Antara kontroversi Ismail adalah peranannya sebagai sebahagian daripada Majlis Keselamatan Negara yang tidak mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang dari PRN Sabah, 26 September 2020.

Langkah itu dikatakan menjadi antara punca lonjakan semula kes COVID-19 di semenanjung, dan kesannya masih dirasakan sehingga ke hari ini.

Ismail dilantik oleh Mahiaddin sebagai TPM pada 7 Julai lalu. Ketika itu sungguh ramai netizen yang mempertikai, dan menyanggah. Mereka bertanya atas rasional apa Mahiaddin mengangkat Ismail ketika semakin ramai rakyat hidup terseksa.

Membazirkan wang

Sama ada Mahiaddin melantik Ismail untuk menyelamatkan dirinya, ataupun strategi memecah-belahkan Umno seperti yang ramai pemerhati politik nampak, pelantikan tersebut tetap membazirkan wang rakyat/negara. Ketika itu pun, Ismail masih lagi Menteri Pertahanan.

Ismail ternyata gagal dalam tugasnya mengendalikan COVID-19 sejak Mac 2020, tetapi beliau dilantik menjadi TPM – ‘kes meningkat, tetapi boleh naik pangkat.’

Mahiaddin menjelaskan pelantikan Ismail kerana pengalaman luasnya boleh membantu beliau mengurus pentadbiran negara. Ertinya, sumbangan Ismail diharap dapat memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang gawat kesihatan, dan ekonomi.

Geli hati bercampur pilu kerana orang yang telah gagal, diharapkan dapat membantu. Apa yang Ismail boleh berikan? Sumbangannya kepada negara selama lebih setahun lalu pun sumbang! Sepatutnya Ismail meletakkan jawatan, bukan menerima kenaikan jawatan!

Ismail wajar berundur jika beliau ada harga diri. Walau bagaimanapun, negara dan rakyat Malaysia malang mendapat PM kelapan, serta TPM ke-13 yang kini PM kesembilan.

Dalam sidang medianya pada 11 Julai lalu, Ismail meminta ahli politik Malaysia berhenti bermain politik, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian pada masalah rakyat.
Siapakah yang sebenarnya terus bermain politik meskipun telah diminta berhenti oleh YdPA?

Ismail juga sebelum dan selepas 7 Julai lalu beberapa kali mengadakan mesyuarat tertutup Umno mengenai kepentingan politik. Sudahlah membelakangi permintaan YdPA, dan melanggar SOP PKPD, menggunakan pula Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan Malaysia, hak milik kerajaan untuk urusan hidup mati parti politik!

TPM yang sekarang PM beginikah yang kita semua mahukan?

Semasa dalam Kerajaan BN, Ismail turut terpalit kontroversi berkaitan dengan beberapa pendiriannya yang didakwa rasis.

Pada 2015, sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina bagi memaksa mereka menurunkan harga barangan.

Katanya, majoriti pengguna adalah Melayu. Cina adalah minoriti. Kalau Melayu memulaukan perniagaan mereka, tentu Cina terbabit terpaksa menurunkan harga.
Selagi Melayu tidak berubah, tegas Ismail, selagi itulah Cina mengambil kesempatan menindas mereka.

Kemarahan ramai

Begitu pun, Ismail memperjelas kenyataannya itu dengan mendakwa gesaan boikot tersebut ditujukan kepada kumpulan peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan sahaja.

Namun demikian, kenyataan tersebut mengundang kemarahan ramai, baik kawan mahupun lawan, termasuk Ketua Penerangan Bersatu kini Wan Saiful Wan Jan – yang ketika itu berkata, ‘reaksi mana-mana orang Melayu atau Cina yang beriman yang berpegang pada perpaduan Malaysia akan menjadi jijik’.

Pada 2015 juga, ketika mengambil alih portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula, Ismail mencadangkan pembinaan ‘Low Yat 2’ hanya untuk peniaga Melayu.

Itu berikutan insiden kecurian telefon di pasar raya digital Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, yang bertukar menjadi rusuhan kaum.

Ismail menafikan pasar raya cadangannya itu – yang kemudian diberi nama Mara Digital – bersifat perkauman. Katanya, ia semata-mata hanya mahu memberi peluang kepada peniaga Melayu, dan bumiputera.

Walaupun berjaya direalisasikan, tetapi Mara Digital di Kuantan dan Johor Bahru ditutup pada 2018 dan 2019 kerana hasil jualan rendah.

Pasar raya Digital Mall di Kuala Lumpur turut bergelut dengan jualan rendah, meskipun sebelum wabak pandemik melanda tahun lalu – tetapi masih lagi beroperasi sehingga kini.
Sebagai ahli Parlimen pembangkang semasa PH, Ismail antara yang aktif berkempen menentang rancangan PH untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Dalam ucapannya sebelum perhimpunan anti-Icerd di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018, Ismail meluahkan rasa kesalnya terhadap PH yang cuba membawa lebih ramai pelajar India ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) – yang katanya untuk orang Melayu.
Mara ada kuota 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera sejak 2002.

Dalam video yang sama, Ismail turut meluahkan rasa kesal kerana keistimewaan orang Melayu yang semakin terhakis. Rakaman video itu kembali timbul dan tular apabila terbit berita melaporkan beliau bakal PM.

Pada 2015 juga, Ismail turut dikritik oleh aktivis pemuliharaan (conservationist) selepas gambar makan malamnya di Sabah yang turut menghidangkan telur penyu, tular.

Ismail menafikan memakan telur itu kerana katanya beliau ada tahap kolesterol yang tinggi. Beliau kemudian memfailkan tindakan undang-undang ke atas akhbar Sabah, Daily Express berhubung perkara itu.

Untuk rekod, PH berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan pada 10 Mei 2018 setelah bertahun-tahun memerangi gabungan pemerintahan BN yang diterajui Umno.

Akuan berkanun (SD) PN yang ditandatangani bagi menyokong Ismail juga boleh menganggu beliau. Berdasarkan kenyataan Mahiaddin yang juga Pengerusi PN, ia jelas sokongan bersyarat.

Walaupun mengingkari titah YdPA seperti dalam surat pemakluman daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, PN mensyaratkan jika Ismail terpilih sebagai PM, dan menubuhkan kerajaan, beliau mesti memastikan anggota Kabinetnya terdiri daripada individu berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.

Kata Mahiaddin, Kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman, dan menjunjung konsep raja berpelembagaan.

Kenyataan itu hadir ketika semua 114 ahli Parlimen yang dipanggil ke Istana Negara selesai menghadap YdPA pada 19 Ogos lalu.

Peras ugut

Mengulas SD itu, Dato’ Wira Mahfuz Omar yakin syarat dan ugutan kepada Ismail boleh menjadikan Malaysia diganggu oleh politik ‘peras ugut bercorak mafia’.

Berasaskan pergolakan politik dalaman Umno sebelum kejatuhan Mahiaddin, Ahli Parlimen Pokok Sena (AMANAH) itu percaya Ismail akan berdepan dengan peras ugut, dan syarat yang tidak dilafazkan oleh kumpulan Presiden Umno.

Dalam kenyataan media berasingan, Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir senada dengan seruan dan amaran Mahiaddin untuk meneruskan agenda perubahan mengikut gagasan yang dicitrakan olehnya.

Kata Mohd Ashraf, ini merangkumi soal pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan, selain memastikan anggota Kabinet yang bakal dilantik nanti bersih, dan bukan ‘kluster mahkamah’.

Justeru, tambah Ashraf, ia mencabar Ismail atau lebih mesra dipanggil ‘Pak Long’ untuk mematuhi perkara tersebut.

Kata Ashraf, sekarang juga Umno perlu membuktikan apakah mereka sekadar mahu kuasa, atau menyelamatkan ‘bangkai-bangkai bernyawa’ atas kesalahan rasuah, dan salah laku.

Ashraf bertanya adakah Pak Long Mail akan menjadi ‘estafet’ perubahan, atau pewaris paradigma kepimpinan Melayu yang telah dipelopori Abah Mahiaddin yang berani menentang kebobrokan pemimpin Umno sehingga dibuang parti pada 2016.

Adakah Ismail, tanya Ashraf lagi, akan tunduk pada desakan-desakan ‘sahabat baik’ kluster mahkamah yang telah merosakkan nama baik Umno?

Jika itu tindakan Ismail, tegas Ashraf, ia pasti membuatkan negara mengenang kepimpinannya yang sanggup membawa negara ke lembah kehinaan. Terpulang pada Ismail, katanya.

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.