Perkembangan politik mutakhir berlaku begitu cepat dengan perubahan-perubahan senario dari hari ke hari sehingga apa pun ramalan atau ulasan dibuat akan menjadi basi keesokannya kerana sukar diduga apakah akan terjadi katakan seminggu, sebulan atau lebih lama lagi daripada sekarang.
Dan salah satunya yang berlegar dalam perbincangan sebelum ini ialah pengganti Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri.
Namun, kini seorang Perdana Menteri baharu telah dilantik walaupun sebelum pelantikannya, politiking dalam bentuk rebutan kuasa melibatkan mereka di dalam kerajaan sendiri menjadi amat sengit.
Daripada memfokus kepada isu Perdana Menteri yang baharu dilantik – fokus harus diberikan kepada membina semula negara atas landasan demokrasi yang sihat dan sebuah sistem yang berdiri atas nilai-nilai keadilan, kejujuran, pengorbanan untuk rakyat terbanyak, dan bebas rasuah.
Yang penting mandat rakyat mestilah sentiasa dihormati – mereka yang memenangi pilihan raya semestinya diberi amanah memimpin negara, sehingga tamat mandat selepas lima tahun. Sebarang tindakan “melompat” parti bagi menjatuhkan kerajaan semestinya dinafikan menerusi peruntukan undang-undang.
Usaha membina sistem demokrasi yang sihat dan matang sebenarnya telah digerakkan lama oleh rakyat diketuai beberapa pemimpin politik dalam kalangan pembangkang dan NGO dan kemuncaknya memperlihatkan kejatuhan kerajaan kleptokrat pada tahun 2018.
Kerajaan yang naik selepas itu walaupun agak perlahan di dalam membawa aspirasi rakyat bagi membina negara baru berasaskan “bebas rasuah” dan reformasi menyeluruh, masih dapat meletakkan asas-asas yang penting bagi tujuan itu.
Namun, disebabkan tindakan para politikus di luar dan dalam Pakatan Harapan (PH) yang memerintah ketika itu, kerajaan tersebut tidak kekal ke hujung penggalnya.
Mereka yang bersekongkol dengan pihak luar PH dari dalam gabungan itu barangkali tidak peduli atau tidak tahu tindakan menjatuhkan kerajaan PH juga bertujuan menghidupkan nyawa Umno untuk kembali berkuasa.
Yang mereka faham barangkali ialah tindakan mereka boleh menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.
Berpakat menjatuhkan
Dan sejarah berulang sekali lagi apabila mereka yang berpakat menjatuhkan kerajaan akhirnya mengalami nasib yang sama 17 bulan kemudian. Individu yang dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac 2020 dijatuhkan oleh skema yang sama yang menyaksikan Perdana Menteri sebelumnya dijatuhkan.
Kini, beliau pula dikhianati sepertimana beliau lakukan tahun lepas. Sejarah berulang.
Politiking sejak akhir 2019 hanya tertumpu kepada dua matlamat – menjatuhkan kerajaan PH dan menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, yang sudah tentu menjadi kenyataan sekiranya PH terus berkuasa.
Asakan oleh pihak yang teringin sangat kembali berkuasa memang berhasil dan kerajaan PH jatuh pada Februari 2020. Anwar terhalang. Matlamat tercapai. Jalan menuju ke puncak kuasa sudah terbentang di hadapan. Naiklah pula calon yang hanya akan memanaskan kerusi Perdana Menteri sehingga satu tempoh yang ditentukan.
Kejatuhan BN pada PRU 2018 hanyalah sementara, dan dengan kembalinya Umno memegang jawatan Perdana Menteri kini, perancangan untuk mengukuhkan parti itu menjelang PRU-15 dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan lancar.
Apakah yang dapat disimpulkan daripada perkembangan selama hampir empat tahun ini?
Bukankah ia agenda Umno semata-mata? Jatuhnya Umno pada 2018 menjadi igauan ngeri buat parti tersebut. Selepas hilang kerajaan, Umno hilang arah dan menjadi terlalu lemah sehingga presidennya terpaksa mengambil semacam cuti “sabatikal”.
Apa yang dilupakan oleh ramai orang ialah pada masa inilah perancangan teliti telah dibuat bagi mengembalikan kuasa Umno. Antara rancangan itu ialah mendapatkan tali hayat baru – Pas.
Memandangkan kedua-dua parti ini – Umno dan Pas – berada di barisan pembangkang pada 2018, tangan persahabatan atas nama muafakat dan perpaduan ummah dicanangkan, ditambah langkah-langkah mengadakan kerjasama antara kedua-dua parti itu.
Akhirnya muafakat politik yang dicapai itu menjadi antara tangga yang membawa ke puncak kuasa.
Apabila naik kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020 fasa seterusnya digerakkan dengan tekanan kepada Perdana Menteri ketika itu. Makin lama makin parah sehingga wakil rakyat Umno menarik sokongan daripada Mahiaddin.
‘Pemerhati’ di tepi
Apa yang menjadi perhatian sekarang ialah, sejauh mana dan sampai bilakah kerajaan baru ini akan bertahan memandangkan perseteruan antara parti-parti dominan dalam koalisi yang memerintah?
Walaupun Pas hanya bersifat sebagai “pemerhati” di tepi, ia boleh menentukan blok mana dalam kerajaan baru akan menjadi kuat dan menguasai. Perkiraan akhirnya ialah apakah jawatan yang boleh diperolehi dengan menyokong blok tersebut.
Kalau sebelum ini blok Bersatu diancam oleh blok Umno dalam kerajaan, kini keadaan sudah terbalik. Umno sekarang berada dalam kedudukan yang agak runcing.
Hanya kerana di luar sana, PH merupakan blok pembangkang yang berpadu dan mempunyai peluang mengambilalih kuasa, koalisi kerajaan sekarang akan berusaha untuk bertahan sehingga PRU akan datang.
Namun, tiada jaminan keadaan ini akan berterusan tanpa pergolakan antara blok Bersatu dengan blok Umno setelah sokongan yang diberikan kepada calon Umno – Ismail Sabri – adalah bersyarat. Salah satu syaratnya ialah tidak berlembut dengan kluster mahkamah dalam Umno.
Dapatkah Ismail Sabri menunaikan kehendak Bersatu itu? Sedangkan kluster mahkamah membolehkan beliau dapat menduduki kerusi Perdana Menteri?
Dan jika keadaan menjadi tidak baik buat Bersatu, yang merebut konstituensi dengan Umno yang sama dalam kalangan orang Melayu, apakah Bersatu akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri baharu sama seperti yang dibuat Umno terhadap Presiden Bersatu sebelum ini?
Umum mengetahui Umno tidak memerlukan pesaing dalam konstituensi Melayu yang dianggap adalah haknya. Babak seterusnya nampaknya sudah bermula.
*DR ABDUL LATIFF MOHAMED IBRAHIM merupakan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.