PN masih mendominasi kerajaan diterajui Ismail Sabri, kata Ahmad Faizal

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata dalam pembentukan kerajaan baharu oleh Perdana Menteri, PN masih mendominasi gabungan yang ada.

Tegasnya, jumlah Ahli Parlimen yang mendukung PN seramai 77 orang, manakala Barisan Nasional (BN) pula seramai 41 Ahli Parlimen.

“Jadi, kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” kata Timbalan Presiden Bersatu itu selepas selesai mesyuarat PN, hari ini.

Difahamkan, pemimpin Umno dan Bersatu pada masa ini sedang bertelagah soal pemilihan
nama kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menempelak penggunaan nama kerajaan PN dalam kenyataan dikeluarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ismail Sabri mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri membabitkan parti komponen PN (54), BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang Ahli Parlimen dari Parti Bersatu Sabah (PBS).