Pemimpin PH digesa kembali ke meja rundingan, elak kegagalan membentuk kerajaan berterusan

Oleh ARIF ATAN

Empat Ketua Pemuda AMANAH Kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mesti mencari formula baharu untuk membina semula kepercayaan susulan kegagalan mengambil alih pemerintahan selepas Mahiaddin Md Yassin hilang sokongan majoriti.

Mereka berkata, episod kembalinya Umno mengetuai kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi pengajaran yang dapat dipelajari oleh semua pemimpin PH.

“Walaupun dengan sokongan kuat 105 Ahli Parlimen daripada PH, Pejuang, MUDA, Warisan, UPKO, PSB, dan Bebas, kita masih gagal untuk mendapatkan 111 sokongan minimum ahli parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

“Berulangnya kegagalan untuk mengembalikan mandat rakyat untuk PH memerintah pasca Langkah Sheraton perlahan-lahan mengikis kepercayaan orang ramai terhadap kepimpinan dan kaliber kepimpinan PH,” tegas mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama Ketua Pemuda AMANAH Kawasan itu terdiri daripada Zulhafiz Zulkifli (Lembah Pantai), Hafizzuddin Razian (Kepong), Mohd Nur Fadhil (Bandar Tun Razak) dan Sheikh Khuzaifah (Bukit Bintang).

Sehubungan itu, mereka berpendapat untuk terus melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza adalah jelas tidak pragmatik.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat barisan pemimpin yang kompeten untuk mengemudi
negara mengikut hala tuju yang sepatutnya dalam krisis besar seumpama ini.

“Untuk mengatasi masalah ini, pemimpin PH digesa kembali ke meja rundingan untuk
mencari punca dan menyusun semula strategi.

“Pimpinan perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini, merombak struktur kepemimpinan untuk keterbukaan khemah pembangkang yang lebih besar dan melunaskan semua cadangan dasar Covid-19 yang lebih konstruktif,” tegas kenyataan itu.

Kepimpinan Pemuda AMANAH Kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu turut menegaskan proses semak imbang yang efektif daripada suara kesatuan alternatif yang lebih jelas akan menjadi mercu harapan untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap kemampuan pembangkang untuk mentadbir Malaysia dengan lebih baik.