Kes mahkamah Zahid Hamidi, Najib cabaran utama menanti PM

Oleh ARIF ATAN

Sebaik mula memasuki pejabat Perdana Menteri hari ini, beberapa cabaran telah pun siap terhidang untuk membuatkan Ismail Sabri Yaakob mula pening kepala memikirkannya.

Selain menguruskan pandemik Covid-19 yang diharapkan rakyat pendekatannya berbeza dengan Mahiaddin Md Yasin dulu, ia juga adalah cabaran yang tentu saja tidak mudah dihadapi oleh Ismail Sabri yang merupakan sebahagian pasukan kerajaan gagal sebelum ini.

Kesan paling ketara jika pandemik ini gagal ditangani bukan saja menimpa Ismail Sabri selaku Perdana Menteri, tetapi juga kepada Umno, parti yang menaungi perjuangan beliau.

Sebelum ini, ketika Mahiaddin mengetuai kerajaan, Umno khususnya melalui kritikan yang dilakukan oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak terhadap kegagalan menangani wabak tersebut, mereka sentiasa saja menyalahkan Perdana Menteri 100 peratus berkenaan dengannya.

Bagi mereka, oleh kerana Perdana Menteri datang daripada Bersatu, Umno tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan kegagalan itu.

Namun, dengan sekarang Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, kegagalan kerajaan membawa khabar gembira buat rakyat dalam mendepani wabak tersebut, Umno bukan saja tidak boleh mengelak lagi, bahkan ia juga akan memberi kesan kepada PRU-15 akan datang.

Menyalahkan Ismail

Tidak mustahil selepas ini ada pemimpin Bersatu yang akan lantang bersuara menyalahkan Ismail Sabri dan Umno secara terbuka untuk membalas dendam perlakuan Zahid Hamidi dan Najib sebelum ini.

Cabaran seterusnya ialah untuk membentuk barisan Kabinet yang dapat diterima baik oleh rakyat, seterusnya menjadikan sama ada kepimpinan beliau diterima atau sebaliknya.

Jika ada pembaharuan dalam wajah barisan Kabinetnya, mungkin dengannya ada peluang untuk beliau meraih sedikit kepercayan, tetapi jika sebahagian besar menteri gagal dan tidak berfungsi sebelum ini terus dikekalkan lagi, tentulah padah besar bakal menunggunya.

Mengekalkan menteri-menteri gagal atau wajah lapuk yang penuh kontroversi sebagai anggota pasukannya dalam Kabinet hanya bererti Ismail Sabri sengaja menempah jalan sukar buatnya.

Lebih sukar dalam hal ini kerana pilihan Ismail Sabri juga amat terhad disebabkan Ahli Parlimen dan parti yang menyokongnya adalah sama dengan mereka yang menyokong Mahiaddin sebelumnya.

Kecaman rakyat

Kesukaran lain yang bakal dihadapi Ismail Sabri ialah sama ada harus mengekalkan jumlah 74 menteri dan timbalan menteri yang dilantik Mahiaddin atau bertindak mengecilkannya.

Mengekalkan jumlah tersebut pasti menimbulkan kecaman rakyat yang perlu meneruskan kehidupan susah di tengah-tengah pandemik Covid-19 serta memberi tanggapan beliau cenderung meneruskan amalan “scheme of things” Mahiaddin.

Tambahan lagi, ramai menteri dan timbalan menteri lantikan Mahiaddin dilihat tidak berfunsgi, tidak bekerja dan hanya makan gaji buta semata-mata. Adakah mereka mahu dikekalkan juga?

Mengurangkan atau menggugurkan mana-mana menteri dan timbalan menteri sebelum ini tentu pula akan memungkinkan mereka merajuk dan jauh hati, lalu mengalih sokongan, seterusnya merisikokan jawatan Perdana Menteri dalam undi percaya di Parlimen.

Tetapi, cabaran paling besar yang menjadi perhatian rakyat ialah kes mahkamah melibatkan beberapa pemimpin Umno, khususnya Zahid Hamidi dan Najib.

Jika mereka dibebaskan, rakyat pasti akan menuduh adanya campur tangan beliau dalam perkara itu dan sebagai membalas budi kerana menyokong pencalonannya sebagai Perdana Menteri.

Kecaman ini bukan saja akan datang daripada pelbagai kelompok rakyat dalam negara, bahkan juga oleh masyarakat antarabangsa.

Tambahan lagi ada kes melibatkan Zahid Hamidi dan Najib itu agak “straight forward” sifatnya dengan kesalahan yang sangat jelas telah dilakukan.

Kiranya Zahid Hamidi dan Najib tersangkut dalam kes yang sedang mereka hadapi, kemarahan kedua-dua pemimpin berkenaan beserta penyokongnya terhadap Perdana Menteri sudah pasti mencetuskan pergolakan yang bukan sedikit dalam Umno.

Ismail Sabri sendiri, jika tidak cermat dan tiada persiapan untuk berdepan dengannya, silap-silap boleh terpelanting pula dibuatnya.

Barangkali, ketika itu nanti, sebagaimana dialami Mahiaddin sehingga kejatuhannya, itulah yang akan menimpa Ismail Sabri.

Namun, jika Ismail Sabri siap sedia dengan segala perisai secukupnya, agar kelangsungan karier masa depannya tidak banyak gangguan dengan ugutan serta halangan, memastikan Zahid Hamidi dan Najib mendiami penjara untuk tempoh beberapa lama adalah jalan paling selamat buatnya.