Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Menerusi kenyataannya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berharap pengundurannya membolehkan “reset” pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
“Dengan pelantikan Perdana Menteri baru dan tuntutan orang ramai yang kuat dan jelas untuk kerjasama pelbagai parti, saya mengundurkan diri hari ini untuk mengosongkan kerusi saya.
“(Ini) agar kerajaan dan pembangkang memiliki lebih banyak ruang untuk ‘reset’ Dewan Rakyat kita sehingga Dewan pada Ogos ini dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan yang profesional dan kerjasama antara parti mengenai dasar dan kerajaan,” jelasnya.
Azalina, 58, pada Julai tahun lepas mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.
Bekas menteri itu juga satu-satunya calon dikemukakan ke jawatan berkenaan tahun lalu dan diusulkan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bagi menggantikan Nga Kor Ming dari DAP yang meletak jawatan.