Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia, Lajim Ukin mula ditidurkan pada jam dua petang semalam di Hospital Pakar KPJ di Kota Kinabalu untuk rawatan susulan akibat jangkitan Covid-19.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Beaufort itu dilapor sudah 12 hari dimasukkan ke hospital tersebut.
Pegawai khasnya , Ismail Norazman berkata mesej tular kononnya Lajim telah meninggal dunia adalah palsu.
Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak supaya tidak menyebarkan berita palsu tersebut.
“Saya berharap mesej yang tular tersebut dihentikan dan sebaran berita tidak sahih tidak dikongsi.
“Bersama kita mendoakan kesembuhan Datuk Seri Panglima (Lajim) melawan Covid-19 yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pakar KPJ,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun meminta semua pihak supaya mendoakan kesihatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.
“Dia kini di hospital mendapatkan rawatan kerana dijangkiti Covid-19,” katanya yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, lapor Bernama.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut.