Ini kabinet kerajaan gagal, PH wajar teliti semula bentuk kerjasama

Oleh NASUHA RAHMAN

Kabinet baru yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ternyata mengundang kritikan seolah-olah menunjukkan beliau ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk diberi tanggungjawab sebagai Menteri dalam kerajaan.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Muhammad Taquiddin Che Man berkata, dengan hanya membuat rombakan kecil untuk beberapa portfolio, sebahagian besar menteri yang berada dalam kebinet semasa Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin mengetuai kerajaan dikekalkan meskipun telah terbukti gagal.

Dalam pada itu, katanya barisan kabinet ini juga dilihat gagal menterjemah aspirasi rakyat yang mahu sebuah pasukan baharu yang lebih berwibawa untuk membawa Malaysia keluar dari masalah yang sedang dihadapi.

“Pemuda AMANAH juga ingin melahirkan kebimbangan sama ada jalinan kerjasama antara kerajaan bersama Pakatan Harapan yang dirundingi baru-baru ini mampu mencapai agenda reformasi dalam menggubal dasar serta polisi pro-rakyat seperti yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menggesa agar pertimbangan dan penelitian yang lebih mendalam dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum sebarang bentuk kerjasama atau persefahaman dimaterai bersama kerajaan.

“Kami bimbang sekiranya semua yang dipersetujui tidak ditunaikan seperti yang diharapkan, ia sekali gus mengheret PH bersama dalam menanggung kegagalan kerajaan di bawah pimpian Ismail Sabri ini,”katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan senarai menteri kabinetnya di mana ramai muka-muka menteri lama dikekalkan cuma beralih portfolio sahaja.

Di mana Datuk Sri Azmin Ali sekali lagi menerajui Kementerian MITI yang banyak mengundang kritikan rakyat kerana isu sektor perkilangan antara faktor terbesar kepada penularan COVID-19 khususnya di Selangor.