Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berpendapat saiz Kabinet XXL yang diterajui Ismail Sabri perlu kerana ramai orang gila di negara ini.
Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, jumlah menteri yang ramai untuk Malaysia dengan komposisi kira-kira 32 juta tidak harus dibandingkan dengan negara lain.
Mokhtar bagaimanapun tidak menghuraikan golongan ‘orang gila’ yang dimaksudkannya itu.
“Tak payah hairanlah. Di negara lain tu tak ramai orang gila sebab itu tak perlu ramai ahli Kabinet.
“Sebab nak jaga orang gila perlu ramai yang menjaganya. Itu tak campur lagi group meroyan dan group merapu tak sudah-sudah,” katanya menerusi catatan di Facebook sebentar tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada 27 Ogos lalu mengumumkan senarai barisan Kabinet baru yang sebahagian besarnya adalah Kabinet lama diterajui Mahiaddin Yassin sebelum ini.
Barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ itu menyaksikan pelantikan seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri ketika Malaysia mempunyai 32.66 juta penduduk sehingga suku tahun kedua 2021.
Ismail Sabri juga mengekalkan jawatan empat menteri kanan seperti dilakukan ketika pentadbiran Mahiaddin yang dianggap “kerajaan gagal”.
Dari segi pecahan mengikut parti, Umno dan Bersatu masing-masing mempunyai 10 menteri.
Bagi jawatan timbalan menteri pula, Bersatu mendominasi dengan 14 Ahli Parlimen dilantik ke jawatan itu manakala Umno hanya mempunyai 10 timbalan menteri.
Sementara itu, Pas mempunyai tiga menteri dan lima timbalan menteri.