Kemerdekaan sebenar adalah kebebasan jiwa dan minda

Oleh BORHAN AHMAD

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai sehingga ke hari ini, di mana sebagai warga Malaysia kita dapat meraikan Hari Kemerdekaan bagi kali yang ke-64.

Laungan kemerdekaan berkumandang seluruh negara dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan mencerminkan kegemilangan Malaysia dalam mewujudkan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama yang hidup secara harmoni dan sejahtera di dalam sebuah negara bertuah ini.

Pengibaran Jalur Gemilang sewaktu memperingati kemerdekaan juga melambangkan penghayatan setiap warga Malaysia terhadap erti dan hakikat kemerdekaan dengan sifat kemanusiaan, moral dan akhlak yang terpuji.

Setelah lebih 60 tahun merdeka kemanakah halatuju negara kita seterusnya? Di bulan kemerdekaan ini juga kita berdepan dengan episod demi episod ketidakstabilan politik negara yang memualkan.

Semuanya bermula dengan pengkhianatan kepada mandat rakyat. Perdana Menteri yang dilantik bukan melalui proses pilihanraya telah menyebabkan situasi politik sentiasa panas dan tidak stabil bagi membolehkan tumpuan diberi kepada tanggungjawab sebenar sebuah kerajaan terutamanya apabila negara sedang melalui pendemik Covid 19 yang menjejaskan keupayaan rakyat untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Melihat kepada apa yang sedang dilalui oleh negara ketika ini, saya percaya bahawa perjuangan kemerdekaan ini masih belum selesai.

Kemerdekaan sebenar bukanlah sekadar bebas dari penjajahan yang berbentuk fizikal semata-mata bahkan ia juga
meliputi kebebasan jiwa dan minda dari segala bentuk pengaruh asing, akhlak dan prinsip hidup yang bertentangan dengan nilai, ajaran agama dan budaya dalam sesebuah masyarakat itu.

Agenda kemerdekaan seterusnya hendaklah diisi dengan memerangi musuh yang TIDAK NYATA seperti kejahilan dan kekangan pemikiran masyarakat khusunya dalam memerangi amalan rasuah, salahguna kuasa dan amalan kleptokrasi dalam semua aspek kehidupan warga Malaysia.

Musuh tidak nyata ini jika tidak dibendung akan menyebabkan negara ini dijajah semula samaada dalam bentuk fizikal atau pun pemikiran. Perkara ini perlu ditangani bersungguh-sungguh di setiap peringkat masyarakat sehinggalah negara kita mampu melahirkan generasi yang lebih terdidik dan berilmu pengetahuan yang menolak segala kebatilan berbentuk amalan rasuah, kleptokrasi dan salahguna kuasa dalam semua urustadbir negara.

Ini termasuk juga dalam urusan yang paling penting iaitu dalam memilih kepimpinan Negara yang akan diamanahkan untuk memacu dan mengemudi pembangunan negara seterusnya.

Negara ini perlu dipimpin oleh pemimpin yang berwawasan, berintegriti dan kompeten serta takut pada Allah SWT kerana percaya apa yang dilakukan di dunia ini akan dihisab di akhirat sana.

Apabila negara dipimpin oleh pemimpin yang baik maka nikmat sebenar kemerdekaan itu akan dapat dirasai oleh setiap warga Malaysia dengan adil dan saksama.

Firman Allah Subhanahuwata’la di dalam surah Al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku” perlu menjadi panduan pada erti kemerdekaan sebenar.

Tanpa ketundukan yang sebenar kepada Allah Subhanahuwata’ala, manusia akan dipengaruhi dan dirosakkan oleh hawa nafsunya, diresapi oleh sifat tamak, hasad dengki dan takabbur yang mendorongkan kepada amalan-amalan penyelewengan lain seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kemerdekaan sebenar meliputi kebebasan jiwa dan minda dari pergantungan kepada manusia kepada kebergantunggan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan menolak semua nilai dan budaya yang bertentangan dalam sesebuah masyarakat itu.

Umat Islam juga diperingatkan oleh al- Qur‘an dalam surah an-Nahl ayat 90, innallaha ya’muru bil’adli wal-ihsan (“sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) agar berlaku adil dan berbuat kebaikan”).

Peringatan ini seharusnya dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan umat Islam terhadap masalah-masalah masyarakat seperti ketidakadilan, kemiskinan, rasuah, keruntuhan akhlak, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Al-Qur’an juga menekankan kepentingan untuk manusia saling bantu-membantu dalam urusan yang baik dalam kehidupan. Dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebaikan dan ketakwaan, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaannya.”

Di saat kita meraikan kemerdekaan ke 64 tahun ini, kita juga masih belum bebas menanggani pandemik Covid 19 di dalam negara kita.

Berdasarkan kepada prinsip-prinsip Maqasid Syariah yang bertujuan memelihara semua aspek-aspek penting dalam diri manusia meliputi agama, nyawa, akal, keluarga harta dan keturunan usaha menghadapi ancaman pandemik Covid-19 , semua pihak perlu terus menggembleng usaha dan tenaga dalam memerangi wabak Covid-19.

Semua langkah-langkah pencegahan, rawatan, vaksinasi, pendidikan, pelbagai program ekonomi dan kebajikan demi
kelangsungan hidup rakyat perlu diberi tumpuan dan terus dipertingkatkan.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan (frontliners)
seperti para doktor, jururawat, pasukan keselamatan dan lain-lain yang telah bertungkus-lumus berusaha mengawal serangan pandemik covid-19 sehingga saat ini.

Semoga usaha murni ini diberi ganjaran sebaik-baiknya oleh Allah SWT.

Pada kesempatan ini juga mari kita memperingati jasa mereka yang telah berjuang memerdekakan negara ini, dan juga kepada mereka yang telah mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman musuh sama ada dari luar atau dari dalam dan seterusnya membangunkan negara ini dengan mendoakan keampunan dan kebaikan buat mereka dan keluarga yang telah ditinggalkan.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64.

“Malaysia Prihatin”

———————-
Penulis adalah Ketua Pejuanita Malaysia, Parti Pejuang TanahAir.