Mengurus Covid-19 bukan hanya jaga nyawa

Oleh ARIF ATAN

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keutamaan menjaga nyawa dalam berdepan pandemik Covid-19 perlu mengambil kira pelbagai aspek dalam kehidupan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, penjagaan nyawa perlu diimbangi dengan kehidupan ketika ramai yang kehilangan pekerjaan, perpecahan keluarga dan kemurungan.

“Tidak wujud pertikaian untuk memilih kepentingan nyawa mengatasi kehidupan atau sebaliknya.

“Tidak mudah juga untuk kita berhujah hanya bersandarkan nas secara harfiah tanpa memahami maqasid di sebalik tuntutan dan tujuan nas dalam konteks yang menekankan tujuan yang lebih tinggi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan PH tersebut berkata demikian dalam pembentangan di Konvensyen Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI) secara webinar hari ini.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly berkata, pemimpin perlu memahami pentingnya aspek menjaga nyawa dan kehidupan diberi perhatian dalam tindakan dan keputusan yang dibuat.

“Cabaran buat pemimpin politik adalah untuk mendamaikan antara tuntutan nyawa yang perlu dipelihara dan kehidupan yang mesti dilindungi.

“Jangan sampai nyawa yang ingin diselamatkan, akhirnya meragut nyawanya sendiri kerana pelbagai PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya terhadap gesaan pihak tertentu agar kerajaan melaksanakan siri PKP lebih ketat.

NUNJI kali ini bertemakan “Pandemik Global dalam Perspektif Maqasid Syariah – Pengalaman Malaysia”.

Inisiatif AMANAH itu membuka ruang kepada ilmuan dan ahli akademik memperhalusi isu kenegaraan berpaksikan pedoman syarak.

Melalui platform tersebut juga, Gagasan Lil Al-Amin dan program Islamisasi berasaskan Maqasid Syariah menjadi gagasan pentadbiran hal ehwal Islam semasa pentadbiran kerajaan PH.