AWAN sambut baik cadangan akta pecat Ahli Parlimen

Oleh NASUHA RAHMAN

Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman Said agar diperkenalkan satu Akta Pemecatan Ahli Parlimen (Recall Act).

Ini bagi membolehkan rakyat menarik semula sokongan mereka kepada mana-mana wakil rakyat yang bertindak mengkhianati mandat yang telah diberikan sama ada oleh parti yang mereka wakili dan rakyat yang telah mengundi.

Ketuanya Aiman Athirah Al Jundi  berkata, Kaukus Reformasi Parlimen Dan Demokrasi Pelbagai Parti adalah satu langkah ke hadapan bagi menyusun semula peranan setiap entiti Demokrasi Berparlimen untuk sama-sama memainkan fungsi dan tanggungjawab memastikan kelangsungan sistem demokrasi dan pematuhan kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukunegara.

“Saya menyambut baik saranan Dato’ Seri Azalina Othman Said yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat betapa pentingnya kepimpinan politik generasi kini seterusnya akan datang terbuka menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat,” katanya.

Menurut Athirah tumpuan mesti diberikan kepada penyediaan peraturan permainan (rule of the game) yang lebih kemas dan tuntas bagi membolehkan persaingan sihat berasaskan nilai, dan bukan lagi terhadap sentimen dan emosi yang dimainkan daripada prejudis perkauman dan keagamaan.

“Prejudis kaum dan agama ini adalah satu bentuk politik narsisme yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat khususnya dalam abad ke-21 dan seterusnya, bahkan memungkinkan untuk Malaysia diheret jauh kembali ke belakang.

“Saya percaya banyak perkara demi negara yang kita boleh perkemaskan bersama-sama. Politik seharusnya diangkat menjadi satu kerjaya professional yang dihormati dan disegani, bukan sebaliknya dipandang sebagai cukup jijik dan keji sepertimana yang berlaku pada hari ini.

“Kepimpinan politik generasi kami dan generasi seterusnya mesti berubah dan berjiwa lebih negarawan, menghormati disiplin dan organisasi parti dan pada masa yang sama terbuka kepada perbincangan serta kerjasama dengan semua pihak yang bersikap progresif dan objektif,” kata beliau.