Royalti lumayan tapi tak upaya tadbir Terengganu dengan baik

Oleh NASUHA RAHMAN

Kita baru sahaja merayakan hari kemerdekaan ke-64 yang menandakan kebebasan kita dari tunduk pada mana-mana pihak penjajah luar.

Walau bagaimanapun, penjajahan tidak semestinya berlaku dari luar oleh pihak asing secara ketenteraan, tetapi boleh juga berlaku ke atas minda rakyat secara politik dan kewangan secara dalaman.

Negeri Terengganu yang kaya dengan hasil minyak, dahulu berjuang untuk bebas “merdeka” mendapat bayaran royaliti minyak secara terus dari PETRONAS dan kerajaan pusat yang hari ini telah pun laksanakan sepenuhnya. Dengan itu Terengganu bebas mengurus wang royalti mengikut kehendak negeri untuk segala kemudahan rakyatnya termasuk untuk bekalan air.

Malangnya pendapatan lumayan wang royalti lebih satu billion ringgit setahun secara terus tanpa gangguan kerajaan pusat masih tidak membolehkan kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir Pas untuk mengurus kemudahan asas negeri seperti sumber air dengan baik.

Selepas banyak aduan dari penduduk tempatan tentang kerja menyedut pasir di sungai yang menyebabkan hakisan di darat dan juga dasar sungai tidak diendahkan kerajaan negeri, kesannya, penduduk disekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu berdepan masalah terputus bekalan air.

Lebih 150,000 penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, yang merupakan lebih dari 10 % penduduk seluruh Negeri Terengganu, tiada bekalan air berminggu lamanya. Bermula awal Ogos sehingga 14 Ogos dan setelah pulih sekitar seminggu, sekali lagi mengalami masalah serupa bermula 23 Ogos.

Sikap kurang cakna dan ambil berat kerajaan negeri ditambah dengan kelemahan akibat kurang pengalaman pentadbiran, adalah sebab utama masalah ini timbul dan berulang.

Ini telah mendorong ketua Perhubungan Umno negeri, Dato Ahmah Said menjemput Perdana Menteri datang ke Terengganu untuk melihat sendiri situasi di Terengganu.

Kerajaan Pusat juga telah menyalurkan bantuan khas 66,000 karton air kepada penduduk yang terjejas kerana respon kerajaan negeri yang tidak memuaskan.

Ini jelas menunjukkan kelemahan pentadbiran menangani masalah membabitkan keperluan asas rakyat walaupun wang royaiti yang lumayan telah diperoleh secara terus oleh Terengganu.

Ketua perhubungan Umno Negeri juga sebelum ini ada menyarankan kerajaan Terengganu mendapatkan dahulu vaksin untuk keselamatan serta mempercepatkan proses dapat vaksin rakyat Terengganu tapi malangnya cadangan tersebut telah disambut dengan komen sinis Timbalan Menteri MOSTI dari Pas.

Timbalan Menteri Pas, Dato Amzad, telah menyindir insiden semasa banjir besar 2014 dengan menyatakan ia tidak semudah mengambil bekalan roti Gardenia dari lori yang diusahakan oleh Dato Ahmad Said yang juga merupakan Menteri Besar ketika itu, untuk membantu rakyat yang putus bekalan makanan.

Sikap meremehkan usaha orang lain membantu rakyat dalam waktu bencana dan susah adalah sikap tidak sihat apakan lagi apabila ditujukan kepada “rakan” dalam kerajaan Terengganu.

Rakyat menyoal kewibawaan kerajaan Pas Terengganu yang juga sebahagian dari kerajaan pusat yang mempunyai wang royalti lumayan sendiri tetapi masih tidak berupaya mentadbir dengan baik.

Rakyat dan pegawai kerajaan merasa seolah Terengganu tidak mempunyai Menteri Besar kerana beliau banyak di Kuala Lumpur dan hanya menjenguk ke tapak putus bekalan air hari ke enam selepas putus bekalan air kali pertama.

Penarik beca di Pasar Payang, ikon pelancongan Terengganu belum pernah bersua muka dengan Menteri Besar serta elaun bulanan yang dijanjikan kerajaan kepada mereka sejak Hari Raya masih belum diterima.

Untuk siapakah kekayaan hasil bumi dan laut Terengganu kalau wang hasil minyak masih belum mencukupi dan Perdana Menteri Malaysia perlu turun atas jemputan oleh Umno untuk cuba menyelesaikan bekalan air yang berulang kali putus.

Walaupun Terengganu kononnya ingin bebas “MERDEKA” dari gangguan pengurusan wang royalti minyak dari kerajaan pusat, tetapi nampak gayanya masih perlu BERGANTUNG kepada Perdana Menteri kerajaan pusat yang mesti dijemput untuk melihat dan membantu masalah keperluan asas air di sini.

Nampaknya lagi mudah mendapatkan bekalan minyak dari dasar laut terbuka dari mendapat bekalan air bersih dari sungai di pinggir Ibu Negeri – Kuala Terengganu yang sering terputus.

Untuk siapakah kekayaan negeri dicurahkan kalau tidak kepada rakyat?

 

Penulis adalah Pengerusi AMANAH Terengganu