Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa, ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pernah memberi amaran tindakan keras akan dikenakan jika masih mengkritik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dikenali sebagai Papagomo, dia berkata, sukar untuknya menyokong Presiden Umno berkenaan yang dianggap ‘bermasalah’ dan membelakangkan parti.
“Dr Asyraf minta saya sokong presiden parti. Saya cakap, macam mana saya nak sokong kalau presiden ada buat sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membelakangkan parti?
“Kalau presiden tak jujur pada parti, macam mana saya ni nak sokong presiden. Dr Asyraf tekan untuk minta sokong Zahid Hamidi. Katanya, Datuk Zahid berjiwa besar.
“Saya cakap, kalau Datuk Zahid berjiwa besar, dia perlu berundur. Sebab ini soal imej parti, bukan soal individu,” lapor Malaysiakini.
Semalam, surat ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Papagomo digantung keahlian parti itu selama enam tahun selepas didapati melanggar perlembagaan Umno.
Tindakan yang berkuatkuasa dari 27 Ogos atau dua penggal pemilihan parti itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada tarikh sama.
Mengulas lanjut, Papagomo berkata, dia tidak akan menyokong perkara yang salah memandangkan tindakannya berasaskan seruan yang dibuat Asyraf sebelum ini.
Menurut bekas anggota polis yang pernah diperintah pada 2014 untuk membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada Anwar Ibrahim itu, Asyraf sebelum ini menuntut sayap Pemuda menjadi ‘parti dalam parti’.
“Dr Asyraf cakap Pemuda kena jadi parti dalam parti, kemudian kena berani kritik pemimpin, yang mana kes skandal ini kena berundur.
“Jadi, saya peganglah kenyataan Dr Asyraf sewaktu perhimpunan Agung Umno 2018 lalu Itu kenyataan yang dia buat sendiri dalam AGM Umno,” kata Papagomo lagi.