AMANAH yakin Ismail pasti bawa usul undi percaya PM sidang Parlimen ini

Oleh NASUHA RAHMAN

AMANAH yakin dan percaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengemukakan usul undi percaya terhadap perdana menteri di sidang Parlimen 13 September ini.

Setiausaha Agong AMANAH Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata perdana menteri pasti akan membawa usul tersebut bagi memperoleh keyakinan daripada Ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Sidang akan datangakan berlaku undi percaya tersebut. Sokongan yang sah tidak akan tercapai melainkan undi percaya,” katanya kepada Malaysia Dateline ketika ditemui dalam program bersama rakyatnya di Lumut Perak hari ini.

Ahli Parlimen Lumut itu juga berkata Pakatan Harapan mengandaikan usul undi percaya perdana menteri akan berlaku walaupun ada pihak mengatakan tindakan tersebut tidak perlu.

“Usul ini perlu ekoran perubahan kerajaan dan perdana menteri baru dilantik menepati permintaan YDPA yang menjadi asas keabsahan seorang perdana menteri dapat sokongan di Parlimen,” katanya.

Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 6 September hingga 30 September ditangguh ke tarikh 13 September sehingga 12 Oktober selama 17 hari sekali gus menjadi perhatian apabila dijangka usul undi percaya terhadap Ismail Sabri akan diadakan.

Pakar-pakar Perlembagaan bagaimanapun berpandangan, usul undi percaya tidak perlu diadakan kerana kuasa perkenan Seri Paduka adalah amat berwibawa dan tidak perlu disahkan atau boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen.