Alamat Umno-BN kena ‘tapau’ dalam PRU-15

Oleh ARIF ATAN

Hari ini adalah hari yang ke-17 Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Malangnya, sehingga hari ini tiada sebarang perkara baru yang berjaya ditampilkan dalam kerajaan pimpinannya.

Malah, dengan barisan Kabinet kitar semula daripada lantikan Perdana Menteri gagal sebelumnya, Mahiaddin Md Yasin, kerajaan yang ada sekarang dirasakan sama saja seperti kerajaan PN dahulu.

Tidak saja hampir 100 peratus anggota Kabinet kerajaan PN dikekalkan, bahkan jumlah dan nama kementerian juga tidak ada yang berbeza. Yang berbeza, cuma ditukar-tukar kementerian saja.

Paling ketara, mereka yang dilantik memegang jawatan menteri kanan juga adalah orang yang sama seperti dalam kerajaan PN sebelum ini.

Jika ketika Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu menjadi Perdana Menteri, mungkinlah boleh difahami mengapa sampai dua pemimpin Bersatu diberikan jawatan menteri kanan, tetapi tidak bolehkah Umno pula yang mengambil alih dua jawatan menteri kanan setelah parti itu melalui Ismail Sabri berjaya merampas kerusi Perdana Menteri?

Lagi pun apalah sangat istimewanya Radzi Jidin untuk terus dikekalkan jawatan menteri kanan sedangkan bertanding dalam PRU-14 lalu pun kalah dengan teruk di Ketereh.

Dalam masa sama, beliau adalah menteri yang paling banyak dirungutkan ibu bapa dan guru-guru kerana gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan di Kementerian Pendidikan.

Barisan menteri kanan dalam kerajaan diterajui Ismail Sabri kini adalah orang yang sama seperti dalam kerajaan PN.

Lebih parah

Begitu juga dengan Azmin Ali, dengan mengekalkannya sebagai menteri kanan lagi, apakah Ismail Sabri sebagai salah seorang pemimpin kanan Umno sedang meraikan dengan istimewa mereka yang khianat dan melompat parti?

Lebih parah lagi hakikat kerajaan yang ada sekarang adalah kesinambungan kerajaan PN apabila Mahiaddin sendiri dilantik oleh Ismail Sabri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Kalau ketika Mahiaddin jadi Perdana Menteri, jawatan Pengerusi MPN itu dipegang olehnya, kini setelah jawatan Perdana Menteri beralih kepada Ismail Sabri pun jawatan Pengerusi MPN masih dipegang oleh Mahiaddin.

Kalau pun Ismail Sabri tidak mahu jawatan itu, tidak bolehkah dipilih individu daripada Umno sendiri yang ada rekod cemerlang dalam menjalankan tugas untuk menggalas tugas sebagai Pengerusi MPN?

Mengapa mesti diberi kepada Mahiaddin yang gagal dan dicemuh dalam menangani Covid-19, sehingga Parlimen yang tiada dengan wabak pun sanggup didaruratkannya?

Ternampak di sini kebergantungan kepada Mahiaddin atau sekurang-kurangnya perasaan ingin terus memberi nyawa kepada Bersatu masih kuat ada dalam jiwa Ismail Sabri.

Sebab itu, tidak menghairankan, bukan saja penerimaan rakyat masih negatif terhadap Ismail Sabri, malah dalam Umno sendiri, rungutan yang kedengaran terhadap kerajaan tidak berkurangan berbanding ketika kepimpinan Mahiaddin sebelum ini.

Meneruskan kegagalan

Berikutan tidak ternampak ada pembaharuan yang ditampil Ismail Sabri, ramai dalam Umno masih kabur dengan kemampuan parti itu untuk menang dengan lebih selesa dalam PRU-15, walaupun setelah jawatan Perdana Menteri berada dalam dakapan.

Kebolehan Ismail Sabri yang sekadar mampu meneruskan kegagalan kerajaan PN sebelum ini, mahu tidak mahu, akan mengakibatkan beban kegagalan itu ditanggung oleh Umno sepenuhnya berbanding ketika jawatan Perdana Menteri dipegang oleh Mahiaddin.

Selain tiada pembaharuan, Ismail Sabri juga bermula dengan buruk sebagai Perdana Menteri serta tidak menampakkan beliau lebih baik daripada Mahiaddin apabila menjemput kawan-kawan Ahli Parlimen dari Umno menaiki jet eksekutif milik kerajaan bersamanya dalam lawatan ke Kedah pada hari pertama beliau mula masuk pejabat dan dalam lawatan pertamanya juga sebagai Perdana Menteri.

Jet eksekutif kerajaan adalah untuk kegunaan Perdana Menteri dan semua Perdana Menteri faham kedudukan itu, sebab itu ada Perdana Menteri sebelum ini tidak membenarkan anaknya sendiri naik jet tersebut bersamanya.

Pegawai kepada seorang Perdana Menteri yang lain pula pernah menolak permintaan seorang Ketua Umno Bahagian yang kebetulan ada urusan di ibukota untuk menumpang jet eksekutif berkenaan ketika Perdana Menteri dalam perjalanan pulang daripada lawatan di sebuah negeri.

Realitinya, begitulah cara bekas Perdana Menteri sebelum ini menjaga integriti dan harta kerajaan, sebaliknya Ismail Sabri seperti menjadikan jet eksekutif itu sebagai barang permainan untuk ditunjuk-tunjuk dan dikongsi dengan kawan-kawan.

Tiada pembaharuan, bermula dengan buruk, mewarisi kegagalan kerajaan PN dan memindahkan beban kegagalan kerajaan yang dulunya ditanggung Bersatu kepada Umno, dengan fakta tersebut setakat ini, jalan menang memang belum kelihatan lagi buat BN.

Kata seorang pemimpin Umno – kalau begini gaya Ismail Sabri di hari-hari seterusnya sebagai Perdana Menteri, alamatnya kena “tapaulah” BN dalam PRU-15 nanti.