Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan tindakan sekumpulan pemimpin PKR yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak sedikit pun menggugat kestabilan pemerintahan PH negeri itu.
Ketuanya, Mohd Hanis Alimin berkata, sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan adalah begitu telus dengan akauntibiliti yang cermat dan tidak berlakunya sebarang salahguna kuasa.
“Ini juga diperakui oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, melalui titahnya dalam sesi pembukaan Sidang Dun pada Jumaat lalu, bahawa kerajaan Negeri Sembilan, pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun adalah sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan iaitu sebanyak 98 peratus.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga telah berusaha dengan gigih dalam mengawal Covid-19 di samping mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5 juta ke seluruh Negeri Sembilan, melalui ADUN dan Penyelaras Dun,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Hanis menyifatkan kejayaan kerajaan negeri pimpinan Aminuddin bersama kakitangan awam khususnya barisan hadapan mencapai imuniti kelompok dengan seramai 669,260 orang iaitu 82.18 peratus telah selesai divaksin sebagai pencapaian yang amat membanggakan.
Semalam, sekumpulan pemimpin PKR Negeri Sembilan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dengan mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 itu sebagai gagal menyusun strategi untuk mengukuhkan PH dan kekal menjadi kerajaan negeri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kumpulan itu mendakwa Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kenyataan berhubung perkara itu mula tersebar di kumpulan aplikasi WhatsApp yang turut mengaitkan nama ADUN Sri Tanjung, Datuk M Ravi; ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.
Mereka juga mendakwa Pengerusi MPN itu tidak melakukan penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutama di kawasan DUN yang perlu diberikan tumpuan.
Krisis dalaman
Mengulas lanjut, Hanis berkata, Pemuda PH negeri itu berpandangan bahawa krisis dalaman yang sedang melanda PKR merupakan perkara lazim dalam mana-mana parti politik sekalipun.
“Pemuda PH Negeri Sembilan menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Haji Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal ini.
“Diharapkan agar, krisis ini dapat diselesaikan dengan harmoni dalam suasana kekeluargaan sesegera mungkin agar tumpuan utama kerajaan negeri hari ini untuk mensejahterakan rakyat tidak akan terpesong jauh,” tambahnya lagi.
Dalam hal berkaitan, PKR Negeri Sembilan hari ini menafikan parti itu bergolak, sebaliknya desakan segelintir pemimpinnya yang mahu Aminuddin ditukar hanya masalah dalaman parti.
Timbalan Pengerusi MPN negeri, Datuk M Ravi dilapor berkata, sokongan ahli parti terhadap kepemimpinan masih utuh walaupun sebelum ini ada cadangan untuk melantik individu lain menduduki jawatan Pengerusi MPN susulan kesibukan tugas Aminuddin yang memberikan fokus kepada pentadbiran negeri.
Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui petugas media enggan mengulas lanjut perkara tersebut dan meminta persoalan itu dikemukakan kepada kumpulan terbabit.
“Saya tiada masalah, beliau (Ravi) sudah jelaskan, tanya kepada mereka yang membuat kenyataan itu,” katanya ringkas.
Susulan daripada desakan itu, Ravi yang juga Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan mengarahkan Setiausaha PKR negeri mengambil tindakan sewajarnya termasuk disiplin terhadap kumpulan tersebut.
Sehingga hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH di Negeri Sembilan selain Selangor dilihat terus mempertahankan kerajaan negeri dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Kedua-dua kerajaan PH itu masih kekal ketika kepemimpinan blok itu tumbang di Johor, Melaka dan Kedah susulan hilang majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat pada Februari tahun lalu.