Puad tempelak KP Pas: Mahiaddin lebih berjiwa besar tolak jawatan Pengerusi MPN

Oleh ARIF ATAN

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Ketua Pemuda (KP) Pas, Khairil Nizam Khirudin (gambar atas) yang menganggap Mahiaddin “berjiwa besar” kerana tidak mengambil imbuhan setelah dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berpendapat Mahiaddin lebih berjiwa besar jika tidak menerima jawatan Pengerusi MPN selepas 17 bulan diberi peluang menjadi Perdana Menteri.

“Bukankah Mahiaddin lebih berjiwa besar jika dia tidak menerima jawatan Pengerusi MPN? Dia sudah diberi peluang selama 17 bulan jadi Perdana Menteri.

“Kuasa seorang Perdana Menteri lebih besar daripada kuasa Pengerusi MPN. Tetapi dia gagal.

“Sepatutnya, dia tidak terima jawatan tersebut apatah lagi kalau memintanya,” kata beliau dalam reaksinya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Khairil Nizam berpendapat Mahiaddin membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan sebagai Pengerusi MPN tanpa segala bentuk imbuhan.

Dia juga berkata, tindakan Mahiaddin itu adalah sesuatu yang wajar dicontohi oleh orang lain termasuk ahli politik kanan.

Mengulas lanjut, Puad menegaskan Mahiaddin tidak patut mengambil jawatan itu selepas terbukti gagal dan terpaksa meletak jawatan.

“Apa yang patut dicontohi? Sepatutnya bila sudah terbukti gagal dan terpaksa letak jawatan maka janganlah ambil balik jawatan.

“Bila CEO (Ketua Pengarah Eksekutif) syarikat letak jawatan kerana syarikat rugi, maka apakah dia wajar dilantik semula untuk memulihkan prestasi syarikat?

“Maka wajarlah Menteri kanan termasuk yang ada jawatan taraf Menteri tidak lagi menerima jawatan Menteri kerana terpalit dengan kerajaan gagal sebelum ini.

“Itu baru berjiwa besar namanya,” tegas Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkenaan lagi.