Nik Abduh mahu Umno-Pas bersama walau akui SPRM masih terima tekanan politik

Oleh ARIF ATAN

Berserta tanda pagar #Istiqamah, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menegaskan perlunya parti itu dan Umno untuk terus bersama dalam Muafakat Nasional (MN).

Sembang Ahli Parlimen Bachok itu selepas dia sendiri mengakui tekanan politik ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nampaknya masih berlaku walaupun kerajaan BN sebelum ini telah jatuh.

“Iman saya, Umno dan Pas harus bersama. Bukan saling unjuk kekuatan. Bahkan saling menghulur sumbangan masing-masing demi kejayaan negara.

“MN masih amat muda. Jangan perlakukannya seperti Ronaldo, Lukaku dan Salah untuk terus menyumbat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam masa sama, Nik Abduh masih membidas Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa blok politik dianggotai PKR, AMANAH dan DAP itu tidak melakukan perubahan sewajarnya semasa berkuasa.

Dia sebelum ini yang pernah mendakwa “boleh bercakap” dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat itu juga tiada ‘Captain America’ untuk mengubah politik negara walaupun Pas berada dalam kerajaan sejak diterajui Mahiaddin Yassin dan kini Ismail Sabri.

“Kenyataan terbaharu oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) semalam jelas menunjukkan bahawa kerajaan PH juga telah gagal membebaskan SPRM daripada cengkaman politik. Tiada anjakan baru yang boleh dibanggakan.

“Ya, tiada ‘Captain America’ untuk mengubah politik negara. Ia bukan juga dengan buang semua yang tua dan ambil yang muda semuanya. Ia bukan seperti mengubah syarikat dan institusi yang besar atau kecil.

“Ia hakikatnya adalah penerusan kepada agenda pembangunan sebuah negara dan umat ke arah kejayaan tertinggi,” katanya.

Untuk rekod, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, beliau bersama enam lagi ahli lain memandang serius isu penarikan balik kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung termasuk kes membabitkan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Datuk Noor Ehsaruddin Mohd Harun Norrassid.

Abu Zahar berpendapat terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, nilai kesabaran, keyakinan dan optimistik dituntut untuk meneguhkan sebuah perubahan yang besar buat negara.

“Jika tidak, kita akan terus dijamu dan digegerkan dengan laungan akauntabiliti, integriti, ketelusan dan pelbagai istilah lagi yang hanya berputar pada roda retorik orang-orang politik.

“Yang berkuasa akan terus menggunakan kuasanya untuk membunuh lawannya yang mencabar. Mereka akan meneruskan aksi lama lawan yang mereka kalahkan.
Justeru bagaimana?

“Ya, bersatu. Satukan umat yang sudah lama bercakaran. Dalam kesatuan itu, cetuskan rasa sedar dan cambahkan bibit keberanian untuk saling beramanah dan berubah. Kebersamaan adalah kemestian,” sembang Nik Abduh lagi.