Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman menggesa Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyegerakan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen untuk diluluskan dan dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang Kawasan Ketari itu menegaskan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun semalam sebagai tiada langsung sifat empati kepada setiap mangsa gangguan seksual di negara ini.
“Apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan Menteri menunjukkan bahawa beliau tidak peka dan tidak faham bahawa disebabkan tiada undang-undang yang boleh dirujuk bagi kes gangguan seksual, ia menyukarkan untuk sebarang siasatan dan tindakan terhadap laporan yang dilakukan.
“Gesaan agar RUU Gangguan Seksual ini dibentangkan di Parlimen sudah kedengaran sejak dari tahun lalu lagi.
“Namun, mengapa Menteri masih memberikan alasan RUU ini perlu mengambil masa untuk digubal sedangkan Menteri sendiri telah menjawat jawatan Menteri di KPWKM sebanyak dua kali?
“Adakah Menteri benar-benar mengambil serius mengenai hal ini?” bidas Young Syefura dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, setakat ini draf RUU berkaitan gangguan seksual pada peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara dan ia undang-undang baharu yang bukan dipinda membabitkan banyak kementerian.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, mangsa gangguan seksual boleh terus membuat aduan ke balai polis atau menyalurkan maklumat ke Talian Kasih 15999 di bawah KPWKM.
Menurutnya, pada masa ini yang penting adalah kesedaran, komitmen dan kepekaan masyarakat terhadap isu ini sebelum RUU tersebut diluluskan.
“Negara mempunyai undang-undang kanun keseksaan dan ia boleh digunakan membabitkan kesalahan ini,” kata Rina lagi sekali gus mengundang kritikan banyak pihak termasuk pertubuhan penuntut pengajian tinggi seperti Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).
Meneruskan usaha
Mengulas lanjut, Young Syefura berkata, saranan Rina yang tidak munasabah itu juga menunjukkan tiadanya sama sekali kesungguhan politik untuk meneruskan usaha yang telah dijalankan oleh Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu RUU Gangguan Seksual dan pembelaan terhadap mangsa terbabit.
Sehubungan itu, beliau yang juga dikenali sebagai Rara menggesa Rina agar lebih peka dengan isu di bawah pengawasan KPWKM dan berhenti memberikan alasan terhadap penangguhan pembentangan RUU Gangguan Seksual di Parlimen.
“Ia perlu dibentangkan dengan kadar yang segera demi menjamin keselamatan serta memberikan pembelaan dan pengadilan yang wajar kepada mangsa.
“Saya berharap Menteri tidak lagi akan mengeluarkan kenyataan tone deaf dan tiada empati berkaitan dengan hal ini dan segera lakukan tugas beliau dengan agresif demi golongan yang beliau wakili melalui kementerian itu,” tegas Rara lagi.