Lebih 10,000 penduduk Batu Maung, Pulau Pinang belum divaksin

Oleh NASUHA RAHMAN

Angka Mysejahtera yang menunjukkan sejumlah 10,916 penduduk Mukim 12, Batu Maung, Pulau Pinang belum mendapat vaksin amat membimbangkan.

Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, jumlah ini amat membimbangkan kerana kadar ini adalah yang paling tinggi berbanding dengan mukim-mukim yang lain di negeri ini.

Tegas beliau lagi, sebelum ini pelbagai program telah dilaksanakan oleh pusat khidmat beliau di Batu Maung bagi menggalakkan orang ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin di kawasan tersebut.

“Kedudukan ini membahayakan komuniti di kawasan tersebut yang telah lama berada di bawah ‘red zone’ dan berpotensi berlakunya penularan wabak Covid-19 yang berpanjangan. Sehubungan itu pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa laman sesawang baharu yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), COVIDNOW yang bertujuan memudahkan semua pihak untuk memperolehi data dan maklumat berkaitan situasi semasa Covid-19 dalam negara ini amat dialu-alukan.

“Adalah diharapkan Khairy dapat memberi makluman terperinci mengenai angka 10 916 tersebut serta agensi berkaitan khususnya pihak CITF yang dapat menjejak jumlah penduduk serta memastikan ‘outreach’ dilaksanakan supaya mereka dapat divaksinasikan secepat mungkin.

“Pengumuman beliau bahawa pesakit kategori 2B dan 3 yang berisiko tinggi akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 ( PKRC) bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah teruk dan seterusnya membendung kes ‘Brought In Dead: atau BID haruslah disegerakan dengan pihak KKM menyediakan kakitangan perubatan di pusat PKRC sedia ada untuk ditawarkan di Pulau Pinang, ” ujar beliau yang juga merupakan Adun Batu Maung.

Selain itu tegas beliau, pusat panggilan’ call centre’ perlu sentiasa berada dalam keadaan peperangan dan mempertingkatkan keberkesanan dalam mengendalikan semua kes kecemasan supaya pesakit bergejala ringan yang berisiko dapat memperolehi rawatan segera seandainya situasi mereka bertambah kritikal.