Amerika sedang menandakan ulang tahun ke-20 tragedi buruk peristiwa 9/11.
Untuk Malaysia, pandemik Covid-19 selama 21 bulan ini telah mengorbankan nyawa seramai tujuh kali “tragedi 9/11” — dan rakyat Malaysia berhak untuk bertanya: Bilakah wabak ini akan berakhir?
Seramai 3,000 orang kehilangan nyawa mereka dalam tragedi 9/11 di Amerika Syarikat. Hari ini, semasa sidang Parlimen dibuka semula, Malaysia akan semakin menghampiri angka 21,000 kematian terkumpul akibat Covid-19.
Hari sebelumnya, laman web Kementerian Kesihatan (KKM), CovidNow, mencatatkan 292 kematian akibat Covid-19.
Rakyat Malaysia kini diberitahu yang disebabkan usaha KKM untuk menyelesaikan backlog maklumat kematian akibat Covid-19 sedia ada, pihak KKM menjangkakan peningkatan “kematian dilaporkan” dalam beberapa hari yang akan datang.
Rakyat Malaysia telah dinasihati untuk merujuk kepada set data yang baharu — “jumlah kematian sebenar” — sebagai petunjuk situasi semasa.
Penjelasan KKM ini telah menimbulkan kekeliruan.
Pertamanya, KKM tidak menafikan yang angka “kematian dilaporkan” ini merupakan angka sebenar jumlah orang yang telah terkorban akibat Covid-19 di Malaysia.
Kedua, berapa lamakah rakyat Malaysia telah diberikan anggaran yang lebih rendah mengenai kematian akibat Covid-19 dalam negara — satu, dua, atau tiga bulan?
Ketiga, angka kematian Covid-19 semalam, yang dilaporkan pada jam 1:30 pagi pada laman web COVIDNOW dan pada jam 4 pagi pada laman web Worldometer, menunjukkan terdapat 592 kematian, termasuklah 106 kes kematian dibawa ke hospital (BID). Berapa banyakkah kematian ini termasuklah dalam kategori “kematian dilaporkan” dan “kematian sebenar”?
Keempat, adakah KKM bersedia untuk menerbitkan pembetulan kepada angka kematian ini untuk satu, dua, atau tiga bulan yang lepas untuk setiap hari?
Saya masih tidak dapat memahami bagaimana mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dapat terus mendakwa yang perang dan strategi kerajaannya dalam melawan wabak Covid-19 ini tidak menjadi satu kegagalan, seperti yang dikatakan beliau dalam Persidangan Pemulihan Negara baru-baru ini.
Semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, kita mencatatkan 29 kes Covid-19 dan sifar kematian. Hari ini, kita bakas melepasi paras 2 juta kes Covid-19 dan 21,000 kematian.
Kita berada di tempat ke-89 semasa kita menyambut Hari Malaysia ke-57 pada 16 September 2020, tetapi dalam 12 bulan yang lepas, kita telah mengatasi kedudukan 68 buah negara untuk berada di tempat ke-21 dengan jumlah kes tertinggi di dunia, bersama dengan 20 negara lain yang mencatatkan dua juta kes terkumpul Covid-19.
Kita telah menjadi negara dengan jumlah kes baharu tertinggi di ASEAN, dan untuk 26 hari yang lepas, kita mencatatkan lebih banyak kes Covid-19 berbanding dengan Indonesia — malah, Indonesia hanya mencatatkan 3,779 kes semalam berbanding dengan 19,198 kes di Malaysia.
Kelmarin, kita merupakan negara keenam di dunia dari segi jumlah kes baharu tertinggi, dan negara keempat dari segi jumlah kematian tertinggi. Semalam, kita berada di tempat kelapan dan keempat dari segi jumlah kes baharu dan kematian tertinggi.
Dengan 292 kematian akibat Covid-19 semalam, kita telah mengatakan empat negara teratas di dunia yang mencatatkan jumlah kematian terkumpul tertinggi — Amerika Syarikat (246 kematian), India (210 kematian), Brazil (216 kematian) dan United Kingdom (56 kematian).
Bukankah semua ini menjadi petunjuk yang jelas betapa gagalnya strategi kerajaan Muhyiddin dalam melawan wabak Covid-19 dan satu permulaan baharu diperlukan untuk melawan wabak ini?
Semalam, saya tanya sama ada pemberian vaksinasi kebangsaan kini semakin perlahan — walaupun kerajaan menjanjikan setengah juta dos vaksin diedarkan sehari, kita hanya mencapai kadar 258,929 dos.
Kadar dos yang diedarkan semalam juga lebih rendah, pada kadar 227,476 dos.
Kita perlukan satu penjelasan daripada Menteri Kesihatan.