Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu yang akan memenangi sekurang-kurangnya di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dalam Pilihan Raya Umum k-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir Md Nasir Hashim berkata, PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di negeri itu tanpa kerjasama atau penglibatan Umno.
“Kemenangan ini akan dibantu atas faktor ketidakmampuan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menerajui negeri ini,” lapor Sinar Harian.
Minggu lalu, Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor memberitahu parti itu dan BN akan bertanding di semua 19 kerusi dimenanginya sebelum ini, termasuk di tiga kerusi yang berpindah ke tangan Bersatu akibat lompat parti.
Mengulas keinginan Umno itu, Nasir menegaskan Hasni tidak patut mengeluarkan “provokasi politik” dan sepatutnya menumpukan usaha memerangi Covid-19.
Dakwanya lagi, Hasni tidak serius menangani pandemik kerana hanya 40 peratus rakyat Johor yang menerima suntikan vaksin.
“Jumlah itu sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain,” kata Nasir.
Dalam PRU-14, BN kecundang di 37 daripada 56 kawasan di tangan Pakatan Harapan (PH) dan hilang penguasaan di negeri itu buat pertama kali.
Pada masa ini, Umno menguasai 14 kerusi DUN manakala sekutunya MIC memiliki dua kerusi.
Sementara itu, Bersatu mempunyai 12 kerusi dan hanya satu kerusi milik Pas manakala PH menguasai 27 kerusi DUN.