MP Jelutong digantung dua hari

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer digantung kehadiran dua hari ke sidang Dewan Rakyat selepas enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ yang ditujukannya kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Beliau membuat keputusan itu selepas wakil rakyat DAP itu memberi amaran kepada Rashid supaya tidak menyalahgunakan kuasanya berhubung tindakan menolak usul menggantikan Speaker Dewan Rakyat.

“Timbalan Speaker, jangan salah guna kuasa. People are watching you. Memalukan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat dari Bersatu itu kemudiannya menuntut Rayer menarik balik ungkapan tersebut.

“Saya minta Jelutong tarik balik ayat itu. Tarik balik! Tarik balik Jelutong!,” arah Rashid.

Serentak itu, suasana Dewan Rakyat bingit buat sementara apabila Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan Rayer.

Ekoran pendirian Rayer bertegas untuk mempertahankan kenyatannya itu, Rashid mengarahkan bentara membawa keluar Rayer dari Dewan.

“Dah tiga kali (saya ulang tarik kenyataan). Saya arahkan bentara minta Jelutong keluar sekarang.

“Saya minta bentara jalankan tugas keluarkan Jelutong sekarang (selama) dua hari,” tegasnya lagi.

Rashid kemudiannya mengambil keputusan menangguhkan sidang Dewan Rakyat untuk rehat pada jam 1 tengah hari.