KJ bimbang negara tidak mampu beralih ke fasa endemik jika rakyat tak patuh SOP

Oleh NASUHA RAHMAN

Berikutan kelonggaran yang diberikan, penduduk di Lembah Klang mengambil kesempatan cuti hujung minggu baru-baru ini dengan membawa keluarga, termasuk anak-anak kecil ke pusat beli-belah dan juga berkelah di taman-taman rekreasi.

Bagaimanapun kelonggaran ini telah mengundang kebimbangan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kerana negara tidak akan mampu beralih kepada fasa endemik sekaligus membantutkan usaha pemulihan negara oleh Kerajaan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” kata beliau dalam kenyataan.

Beliau berharap agar seluruh masyarakat dapat memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dan terus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian.

Perdana Menteri pada 8 September lalu, telah mengumumkan peralihan Lembah Klang iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya, ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berkuatkuasa 10 September 2021.

Seperti yang dimaklumkan, antara kelonggaran yang dinikmati penduduk di negeri-negeri Fasa 2 PPN termasuklah kebenaran dine-in di premis kedai makan dan aktiviti pelancongan di dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Aktiviti-aktiviti yang dilakukan hujung minggu pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah.

Justeru, Khairy mengulangi peringatan bahawa vaksinasi lengkap bukan alasan untuk rakyat leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

Walaupun tindakan-tindakan ini kelihatan mudah, katanya ia mampu melindungi orang ramai daripada jangkitan virus COVID-19.

Berdasarkan pemantauan dan analisa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), situasi penularan jangkitan COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan trend penurunan.

Pastinya perkembangan yang positif ini akan membantu memastikan Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar dan selamat.

Khairy juga sebelum ini telah nyatakan beberapa kali tentang sasaran Kerajaan untuk mula beralih kepada fasa endemik pada akhir Oktober ini.

“Namun untuk merealisasikan sasaran ini, ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri,” kata beliau.