Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) membuka jalan untuk Undang-undang Anti-Lompat Parti diwujudkan segera.
Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, undang-undang berkenaan perlu digubal secepat mungkin untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.
“Sejak sekian lama kita menghadapi kucar-kacir politik kerana terdapat wakil rakyat yang berpaling tadah.
“Ini mengakibatkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditumbangkan oleh beberapa individu kerana kepentingan peribadi.
“Akhirnya mandat rakyat dipermainkan oleh ahli-ahli politik dengan pelbagai taktik kotor,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
MOU yang ditandatangani PH dan kerajaan semalam dilihat sebagai kejayaan rakyat kerana membuka jalan kepada reformasi institusi utama.
Selain Undang-undang Anti-Lompat Parti, ia antara lain turut menjanjikan komposisi lebih seimbang antara kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pelaksanaan Undi18.
Malah, persetujuan tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022, turut dilihat sebagai kejayaan kepada rakyat.
Menerusi MoU itu juga, kerajaan kini bergantung kepada sokongan pihak pembangkang dalam meluluskan belanjawan serta lain-lain rang undang-undang.
Elak beli, ugut wakil rakyat
Mengulas lanjut, Sivakumar yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata Akta Anti-Lompat Parti juga akan menutup peluang wakil rakyat untuk berpaling tadah.
“Justeru, nilai ekonomi atau nilai niaga wakil rakyat akan turun ke ‘sifar’. Kita juga dapat membendung amalan rasuah dalam aktiviti jual beli dan perdagangan wakil rakyat.
“Selain daripada itu, penyalahgunaan kuasa dan unsur-unsur ugutan terhadap wakil rakyat juga dapat dielakkan melalui undang-undang ini,” katanya.
Kesannya, tambah beliau, politik negara akan menjadi lebih harmoni, kesejahteraan rakyat terjamin, ekonomi negara dapat dipulihkan selain keyakinan pelabur-pelabur juga dapat ditingkatkan.
“Undang-undang Anti-Lompat Parti ini boleh membawa satu perubahan besar dalam dinamika politik negara kita yang semakin tergugat dengan adanya fenomena ‘katak melompat ke sana, melompat ke sini’.
“Amalan ini amat dibenci oleh seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama meletakkan tanda noktah kepada perbuatan yang jijik ini melalui Undang-undang Anti-Lompat Parti,” katanya.