Menanggapi stereotaip kaum dan prejudis

Oleh NASUHA RAHMAN

Sebagaimana yang dijangka, iklan Hari Kemerdekaan yang diterbitkan IKRAM, diasak dari kiri dan kanan sehingga terpaksa ditarik balik.

Sementara komuniti Cina dan India mempertikaikan “mengapa kaum minoriti sahaja yang dihina dengan label negatif”; komuniti Melayu pula mempersoalkan “mengapa Melayu sahaja yang ditonjolkan untuk menghina kaum lain, sedangkan kaum lain juga menghina kami dengan gelaran yang biadab?”

Situasi sedemikian memperlihatkan bagaimana masyarakat kita sarat dengan kecurigaan antara satu sama lain.

Syak wasangka ini membantutkan minda kita. Lantas kita cenderung untuk mentafsir sesuatu kritikan sebagai “penghinaan yang berniat jahat”, daripada “muhasabah untuk memperbaiki diri sendiri”.

Malah, dari satu sisi, barangkali ia menunjukkan bahawa kita belum bersedia untuk berdepan dengan kritikan.

“Tidak adil jikalau hanya kritik kami” dijadikan alasan untuk menepis teguran, sedangkan ramai dalam kalangan kita ghairah untuk menuding jari kepada orang lain.

Lebih-lebih lagi, andainya kritikan diajukan kaum lain, selalunya pengkritik dianggap “biadab”; namun apabila kritikan datang daripada kaum sendiri, sering kali pengkritik pula dianggap “pengkhianat”, atau “boneka kaum lain”.

Biar berterus-terang, kita tidak terbuka untuk dikritik. Sikap sedemikian amat dikesali, kerana sering kali mesej asal yang ingin disampaikan, akhirnya ditenggelamkan.

Dalam kes iklan Hari Kemerdekaan terbitan IKRAM, tumpuan kita telah dialihkan dari mesej yang berbunyi “perkauman tidak lahir sendiri, sebaliknya diajar sedemikian”.

Kes rusuhan Low Yat 2015

Hakikatnya, masalah kita jauh lebih rumit berbanding gelaran semata-mata, seperti gangster, pemabuk, pemalas, penipu dan sebagainya.

Jikapun gelaran sedemikian diharamkan, prejudis di sebalik stereotaip ini tetap mencengkam, mempengaruhi cara kita berfikir, lantas memberi kesan bagaimana sesuatu kejadian berakhir.

Jikalau kita masih ingat, satu rusuhan berlaku di Plaza Low Yat pada Julai 2015, antara budak Melayu yang dituduh mencuri, dengan peniaga Cina yang dituduh menipu.

Perdebatan dalam ruang maya menyaksikan reaksi dua ekstrem, di mana kelompok Cina cenderung untuk mempercayai bahawa budak Melayu itu memang mencuri, dan dia kembali membalas dendam selepas dikantoikan; sementara kelompok Melayu cenderung untuk mempercayai bahawa peniaga Cina itu memang menipu, dan dakwaan curi itu hanya fitnah semata-mata.

Netizen yang berbicara, menokok tambah dengan pengalaman masing-masing, sungguhpun saya yakin Melayu yang mendakwa Cina menipu itu juga pernah ditipu kaumnya sendiri. Begitu juga, Cina yang mendakwa Melayu mencuri itu sudah tentunya ada pengalaman dicuri kaum sendiri.

Hakikatnya, ia bukan Melayu yang mencuri atau Cina yang menipu. Realitinya, yang mencuri dan menipu adalah orang yang tidak berintegriti (atau terdesak, bergantung kepada kes masing-masing), dan kebetulan dia keturunan Melayu atau Cina.

Namun, sesetengah orang memilih untuk menonjolkan pengalaman tertentu, untuk mengiyakan “stereotaip kaum” sebegini.

Apabila suara sedemikian menjadi arus perdana dalam ruang wacana, suara rasional semakin ditenggelamkan.

Melayu yang mahu menyanggah, “Tidak, saya juga pernah ditipu Melayu”; dan Cina yang mahu menongkah arus dengan berkata, “Saya pun ada pengalaman dicuri Cina”, akhirnya memilih untuk membisu kerana takut dilabel “pengkhianat” atau “boneka kaum lain”.

Maka prejudis semakin menebal, diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menghasut sentimen perkauman, sehingga akhirnya situasi hilang kawal. Perselisihan fizikal berlaku, dengan keganasan beraksi di tengah-tengah kota Kuala Lumpur.

Stereotaip ketika menggubal dasar

Sememangnya, “prejudis” tidak tercetus dan “emosi” tidak meledak hanya disebabkan satu faktor semata-mata. Boleh jadi emosi itu tertimbun kerana pengalaman hidupnya, yang tidak terpisah daripada dasar negara dan sebagainya.

Misalnya, pengamatan saya mendapati ramai dalam kalangan masyarakat Cina berusia 50-an dan 60-an, sentiasa sangsi terhadap kerajaan, malah jikalau digali, akan menemui ketidakpuasan yang terpendam dalam hatinya.

Mereka kini mungkin berjaya dalam hidupnya sebagai usahawan kecil, tetapi mereka percaya dirinya boleh mencapai sesuatu yang lebih tinggi, jikalau tidak dinafikan kelayakannya untuk masuk ke universiti, atau peluang-peluang tertentu dalam sektor ekonomi, lantaran sistem kuota.

Saya tidak menolak sepenuhnya amalan sistem kuota, mengambil kira keperluannya untuk merapatkan jurang ekonomi dan sosial dalam masyarakat, agar fenomena “yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin” dapat dielakkan.

Apa yang ingin saya ketengahkan adalah, apapun sistem yang dilaksanakan, tidak sempurna. Ia datang dengan kesan sampingannya.

Isu ini diambil sebagai contoh untuk menjelaskan kepada masyarakat Melayu, reaksi masyarakat bukan Melayu apabila mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan dasar kuota matrikulasi pada kadar 90:10, tahun 2019.

Tidak salah untuk seorang menteri mempertahankan keputusan kabinet, cuma beliau melakukan kesilapan apabila menggunakan hujah stereotaip bahawa “Cina berjaya masuk ke universiti kerana kedudukan ekonomi yang lebih baik”.

Banyak kisah pahit di sebalik setiap keluarga Cina miskin untuk menampung anaknya ke universiti, pada zaman 1970-an dan 1980-an.

Ada kakak atau abang yang terpaksa “berkorban”, memberi laluan kepada adiknya untuk melanjutkan pengajian tinggi, kerana ibu bapa tidak mampu untuk menanggung kosnya. Itupun ramai yang mengikat perut, bekerja sampingan ketika menuntut di institusi pengajian tinggi.

Tidak sukar untuk kita bayangkan perasaan Cina yang melalui pengalaman sebegini, apabila Maszlee Malik bersahaja melontarkan kenyataan sebegitu.

Jelas, “stereotaip” sebegini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya mencetuskan lebih masalah. Bayangkan, kelompok Melayu akan percaya bahawa “Cina berada di universiti kerana kedudukan ekonomi yang lebih baik”, lantas “sistem kuota” mesti dipertahankan.

Sementara itu, kelompok bukan Melayu pula menganggap “kerajaan Melayu memandang remeh masalah kami”, “memangsakan kami dengan sistem kuota yang tidak adil”, “akhirnya kami dinafikan, dan tidak diiktiraf”.

Ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan, ada kalanya dilepaskan terhadap komuniti Melayu, sehingga wujudnya rasa dendam yang menjelma sebagai hujah-hujah yang agak rasis.

Bukankah hubungan kaum semakin dirobek, apabila kita seolah-olah menggubal dasar berasaskan “stereotaip”?

Bukankah situasi sebegini boleh menyuburkan prejudis terhadap kelompok yang berbeza? Apabila semua faktor ini digaulkan, tanpa dirungkaikan sebaik-baiknya, bukankah ia menjadi bom yang menanti untuk meletup apabila suasana hubungan kaum menjadi tegang?

Demikianlah kebimbangan saya di sebalik stereotaip dan prejudis yang tersemai. Ia bukan salah satu pihak semata-mata, namun semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah sebaik mungkin.

Kita perlu membina semula kepercayaan antara satu sama lain. Kita harus bersikap matang dan rasional, ketika berbicara soal kaum dan agama.

Andainya iklan Hari Kemerdekaan terbitan IKRAM pun gagal kita bicara dengan baik, ia bermakna lebih usaha perlu kita curahkan lagi.