Penubuhan perikatan ketenteraan antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) bagi pertahanan rantau laut Indo-Pasifik dengan menggunakan kapal selam nuklear meningkatkan suhu permusuhan global.
Sasaran AUKUS adalah jelas kepada China. Tetapi ia akan mengheret banyak negara lain dunia dalam suatu kerangka permusuhan global. Malaysia sebagai negara Asia Tenggara berada di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik akan terperangkap dengan kerangka permusuhan ini.
Sebab itu sesebuah negara, walau kecil mana sekalipun perlu memiliki kerajaan yang stabil dan berwibawa dengan Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan yang bagus bagi menghadapi cabaran geopolitik terkini.
Bukan itu saja, sesebuah negara moden juga wajar mempunyai kepakaran dalam bidang geopolitik, pertahanan, keselamatan dan diplomasi bagi mendokong kerajaan masing-masing. Ia meliputi kemampuan jentera kerajaan dan institusi-institusi akademik serta penyelidikan untuk menjayakannya.
Selain itu, parti-parti politik, baik pada pihak kerajaan mahupun pembangkang juga wajar mempunyai aktivis-aktivis yang memberi perhatian terhadap isu-isu geopolitik, hal ehwal luar dan pertahanan. Perhatian mereka ini wajar juga didukung oleh NGO dan media massa berkaitan. Ini kerana apa yang berlaku di luar boleh menjadi ancaman mengejutkan jika tidak dihadapi dengan persediaan.
Terdapat tiga peringkat dalam menanggapi isu perikatan AUKUS ini. Pertama, peringkat global. Kedua, peringkat Asia Tenggara. Ketiga, peringkat Malaysia. Untuk itu, ia tidak terlepas dengan pengalaman geopolitik masa lalu, boleh dikira dari masa selepas Perang Dunia Kedua.
Aturan dunia hari ini dikira bermula dengan kemenangan pihak Berikat dalam Perang Dunia Kedua yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Soviet Union, United Kingdom, Perancis dan China. Kejayaan itu mewajarkan mereka menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu dengan memiliki kuasa veto.
Kini kedudukan Soviet Union diwarisi oleh Persekutuan Rusia. Kerusi Republik China sudah diambilalih oleh Republik Rakyat China. Selepas Perang Dunia Kedua, rebutan untuk menjadi kuasa utama dunia berlaku antara Amerika dan Soviet Union yang membawa kepada Perang Dingin.
Amerika berjaya dalam perang itu dengan Soviet Union runtuh dari dalam. Sejak tahun 1990, Amerika menjadi kuasa utama tunggal dan pencabarnya hanya berbentuk serangan teroris Al-Qaeda. Perang Menentang Keganasan itu telah mengakibatkan kemusnahan Iraq dan Afghanistan.
Selain itu, Amerika tidak berpuas hati dengan keruntuhan Soviet Union. Ia tidak mahu Rusia bangkit semula. Maka Amerika masuk bertapak di negara-negara bekas Soviet Union dari Asia Tengah sehinggalah ke sempadan Rusia iaitu Ukraine dan Belarus. Ia seperti kepungan, dan Rusia di bawah Presiden Vladimir Putin melawan balik. Ia menakluk sebahagian Ukraine dan Crimea disatukan dengan Rusia. Rusia berasa dirinya terkepung dengan peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).
Sedangkan pada asalnya NATO ditubuhkan untuk melawan Soviet Union yang mewujudkan pesaingnya iaitu Pakatan Warsaw. Dengan runtuhnya Soviet Union, maka Pakatan Warsaw dibubarkan. Sepatutnya NATO pun patut dibubarkan. Tetapi tidak. Jadi ia ditubuhkan bukan kerana untuk membendung komunisme, tetapi Rusia sendiri.
Dalam keadaan ini, orang bercakap mengenai Perang Dingin baharu. Tetapi Rusia menolak perkara itu. ini kerana, Rusia tidak berhasrat untuk menjadi kuasa dunia seperti Soviet Union. ia tidak mempunyai motivasi ideologi untuk itu. Lagipun Rusia tidaklah sekuat Soviet Union.
Sebaliknya Amerika yang mempunyai motivasi ideologi untuk terus menjadi kuasa dunia utama dan mempunyai kekuatan untuk melancarkan Perang Dingin baharu. ideologi Amerika adalah hendak menerapkan kebebasan, demokrasi, hak asasi manusia, perdagangan bebas dan pasaran terbuka. Ia pula mempunyai sekutu rapat, di Amerika Utara, Eropah dan Australia serta New Zealand. Dari segi kaum, ia berteraskan pada orang kulit putih, dengan dominasi bangsa berbahasa Inggeri dan bertamadun Eropah yang dikira berasal dari Greek, Rom dan agama Kristian Katholik-Protestan.
Sementara Rusia kehilangan sekutunya yang diwarisi daripada Soviet. Amerika bukan saja mengambil alih sekutu Rusia di Eropah Timur tetapi juga di Timur Tengah. Iraq dan Libya yang dahulunya sekutu Soviet, kini berada dalam tangan Amerika. Bagaimanapun percubaan Amerika untuk mengambil alih Syria gagal. Sementara Serbia yang merupakan sekutu Rusia menjadi bertambah kecil apabila Kosovo merdeka dengan sokongan Amerika.
Sikap Amerika selepas tumbangnya Soviet Union tentu diperhatikan China. Selepas berjaya melemahkan Rusia, adalah tidak menghairankan bahawa Amerika akan memberi tumpuan pada China. Motivasi ideologi itu ada. China perlu dibebaskan daripada komunisme. Kapitalisme terpimpin yang diamalkan China tidak mencukupi. Hak asasi manusia dan demokrasi merupakan isu bagi Barat.
Bagaimanapun, China pernah bekerjasama dengan Amerika pada bahagian kedua Perang Dingin. Pada masa itu, berlaku bertelingkahan antara Soviet Union dan China, baik dari segi politik mahupun ideologi. Maka Amerika turut berusaha membantu China supaya ia dapat menjauhkan diri daripada Soviet Union.
Sejak bermula pemerintahan Deng Xiaping pada lewat tahun 1970-an, China telah bangkit dari segi ekonomi dan pertahanan. Amerika ada sumbangan dalam kebangkitan ini, baik dari segi pelaburan mahupun pasaran. Republik Rakyat China tidak runtuh seperti Soviet Union. Sebaliknya, ia membesar sehingga menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia selepas Amerika.
Namun sejak Presiden Xi Jinping memerintah, kebangkitan China membimbangkan banyak negara. Pada mulanya doktrin Satu Jalur Satu Laluan yang merentas benua Asia dan Lautan Hindi dipandang sebagai usaha peluasan pasaran barangan China. Tetapi dengan pembinaan pelabuhan di beberapa tempat di sekitar Lautan Hindi, ia kelihatan seperti terdapat perancangan strategik ketenteraan. Lagipun, kegiatan ekonomi perlu dipertahankan dengan kekuatan tentera.
Tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah apabila China secara satu hala menerjah Laut China Selatan untuk menduduki kawasan yang dituntutnya sedangkan ia masih menjadi pertikaian negara-negara Asia Tenggara khususnya Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei.
Kini indonesia menamakan Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara. China bantah. Semua pihak tidak mahu peperangan. Tetapi gelagat China itu mendorong perlumbaan senjata. Pasti negara negara Asia Tenggara akan meningkatkan kemampuan ketenteraannya. Walaupun tidak ada negara yang boleh menyaingi China tetapi mereka perlu bersedia.
Dalam keadaan ini, tentulah ada negara-negara di Asia Pasifik yang terbuka untuk mendapat pertolongan dari Amerika bagi mengimbangi China. Korea Selatan, Jepun dan Taiwan sudah dikira sebagai sekutu Amerika. Di sebelah selatan ialah Australia dan New Zealand.
Amerika masuk campur ke kawasan ini atas alasan untuk memastikan laluan bebas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi tidak diganggu China. Bagi China, tingkah laku Amerika itu adalah seperti penjajah zaman dahulu yang cuba menjarah negara-negara orang.
Dalam konteks inilah, perikatan AUKUS ditubuhkan dengan Australia memainkan peranan penting. Ia membeli kapal selam nuklear dari Amerika dan membatalkan pesanan kapal selam Perancis. Tentulah Perancis marah.
Kapal selam nuklear membawa makna besar. Amerika mempunyai lebih 70 buah dan China hanya memiliki tidak sampai 10. Implikasinya ialah ia menambahkan senjata nuklear dunia, sesuatu yang mengancam manusia. Penubuhan perikatan AUKUS ini meningkatkan suhu geopolitik dunia. China dijangka bertindak balas. Dan ia tidak berkesudahan.
Malaysia secara sendiri tidak boleh buat apa. Ia perlu berperanan dalam kerangka ASEAN. Sikap yang perlu diambil adalah berkecuali, bukan saja Malaysia tetapi juga ASEAN. Rantau ini mesti bebas nuklear dan tidak terperangkap atau terheret dengan Perang Dingin baharu. Pengajaran sejarah lalu sudah jelas bahawa konflik ketenteraan akan merugikan semua pihak.
Masalahnya ialah tentu ada negara dalam ASEAN yang condong pada Amerika dan AUKUS. Bagi melayari bahtera bergelora ini, Malaysia perlukan kepimpinan negara yang kuat dan jentera kerajaan, termasuk angkatan tentera yang kemas.