Lantik Timbalan Speaker: Inilah masanya untuk reformasi Parlimen, kata Pemuda AMANAH

Oleh NASUHA RAHMAN

Pemuda AMANAH mendesak agar pelantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat disegerakan dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat sedia ada selaras dengan semangat persefahaman reformasi parlimen yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan sebelum ini.

Timbalan Ketuanya Muhamad Taquiddin Cheman berkata, inilah masa untuk melihat kesungguhan di pihak kerajaan dalam menterjemah hasrat reformasi parlimen seperti yang dinyatakan dengan melantik Timbalan Speaker dalam kalangan pembangkang supaya kerjasama melaksanakan reformasi parlimen dapat dilakukan oleh kedua-dua pihak.

“Janganlah mengheret permasalahan politik di kalangan parti di pihak kerajaan membantutkan usaha reformasi yang dipersetujui dan memadamkan kepercayaan rakyat kepada dewan yang mulia ini,” kata beliau.

Katanya, keengganan pihak kerajaan untuk menyegerakan pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dikosongkan oleh penyandang sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said adalah sesuatu yang tidak wajar.

Perkara ini juga, jelas beliau tidak mematuhi peruntukan Peraturan (6) Peraturan Mesyuarat yang menyatakan secara jelas jika terdapat kekosongan bagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus membuat pemilihan bagi jawatan itu pada awal permulaan urusan mesyuarat dalam mesyuarat yang mula-mula sekali diadakan selepas daripada jawatan Timbalan Yang di-Pertua itu kosong.

“Jawapan yang diberikan kerajaan untuk meminda Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelantikan dua Timbalan Speaker kepada tiga Timbalan speaker tidak menghalang supaya Timbalan Speaker kedua dilantik terlebih dahulu.” katanya dalam kenyataan.

Pada minggu lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun ternyata tidak dapat mengendalikan perjalanan mesyuarat dengan hanya dibantu seorang Timbalan Speaker apabila terpaksa menggunakan Peraturan 7(3) Peraturan Mesyuarat, meminta Ahli Parlimen Pengerang mempengerusikan mesyuarat.

“Sedangkan kekosongan Timbalan Speaker kedua boleh diisi bagi membantu Speaker melaksanakan tugas di Dewan Rakyat dengan lebih efisien dan teratur,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat untuk Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas (2021) yang bermula 13 September hingga 12 Oktober 2021 merupakan mesyuarat yang agak panjang, kira-kira 4 minggu.

Sidang kali ini, kata Taquiddin semestinya memerlukan komitmen tinggi daripada Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengendalikan mesyuarat sebaiknya.