Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jawatan bertaraf menteri yang diberikan kepada satu-satu individu sama sahaja seperti memberi sogokan untuk menyokong pihak kerajaan.
Apatah lagi katanya, jika pelantikan tersebut dibuat tanpa berasaskan kriteria yang sepatutnya.
Beliau dalam sidang pagi ini menegur kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri agar meneliti kelayakan seseorang individu sebelum diberi jawatan yang bertaraf menteri.
“Sekarang ini ada satu amalan yang tidak diperuntukkan dalam perlembagaan. Kita dapati ramai yang dilantik ke jawatan tertentu, tak ada dalam perlembagaan. Diberi taraf menteri tapi tak ada kriteria bagaimana jawatan ini diberikan.
“Tapi apa yang kita tahu, apabila taraf menteri diberi, dia akan dapat kemudahan seperti menteri. Ini adalah jenis sogokan juga kerana dia tumpu bukan kepada tugas yang nak dilakukan, sebaliknya menumpu kepada upahan yang akan diperoleh
“Sepatutnya kita ada kriteria tertentu sebelum dapat lantik seseorang untuk mendapat taraf menteri. Kalau tidak, ia akan jadi sogokan kepada penyokong kerajaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.